Thursday

NOTA GERAKAN PENJAJAHAN

BAB 3

3.1                   PENGENALAN

Dalam bab ini kita akan membincangkan aspek-aspek yang berkaitan dengan gerakan penjajahan yang berlaku di negara Malaysia. Sebagaimana yang anda sedia maklum, penjajahan oleh kuasa-kuasa asing ke atas Tanah Melayu telah berlaku sejak ratusan tahun yang lalu. Penjajahan kuasa asing dari Eropah telah bermula pada tahun 1511 apabila Portugis menghancurkan keagungan Empayar Melayu Melaka. Kemudian diikuti oleh kedatangan kuasa Belanda, Inggeris dan Jepun. Penguasaan kuasa-kuasa asing terutamanya dari Eropah, secara khusus dan umumnya telah meninggalkan kesan kepada corak kehidupan masyarakat atau penduduk asal di negara ini.

Dasar-dasar yang dilaksanakan oleh kuasa asing terutamanya British benar-benar telah mengubah corak kehidupan di Tanah Melayu apabila kita bandingkan dengan kehidupan tradisi masyarakat Melayu seperti yang telah dibincangkan dalam Bab 2: Masyarakat Melayu Tradisi. Di samping itu juga, dasar-dasar yang dilaksanakan telah memberi kesan kepada struktur pentadbiran yang sedia wujud dalam masyarakat. Segala perubahan ini berlaku didorong oleh matlamat, usaha, dan juga ketamakan serta kerakusan pihak penjajah yang ingin menguasai hasil mahsul dan keuntungan di negara ini.

Beberapa perkara akan dibincangkan dalam bab ini, antaranya mengenai gerakan penjajahan di negara Malaysia. Perbincangan ini akan terbahagi kepada tiga bahagian utama, setiap bahagian akan mengandungi beberapa topik kecil bagi membantu pemahaman bagi setiap bahagian.
Dalam bahagian pertama, kita akan membincangkan pengertian penjajahan. Justeru itu, saya menumpukan kepada perbincangan mengenai definisi bagi istilah-istilah yang berkaitan dengan penjajahan, iaitu kolonialisme dan imperialisme.

Dalam bahagian yang kedua pula, kita akan meneruskan perbincangan mengenai perkembangan kedua-dua dasar penjajahan, iaitu kolonialisme dan imperialisme—faktor-faktor penggalak kepada kewujudan dasar-dasar penjajahan kolonialisme dan imperialisme.

Seterusnya, dalam bahagian ketiga, kita akan membincangkan berkenaan gerakan penjajahan barat di Tanah Melayu—sejarah awal dan sebab-sebab kedatangan penjajah barat, dasar campur tangan British, dasar-dasar yang dilaksanakan oleh British, dan dampak penjajahan.

Hasil daripada perbincangan yang dibuat kelak diharap dapat memberikan gambaran kepada pelajar berkenaan dasar penjajahan yang kita kenali sebagai kolonialisme dan imperialisme. Seharusnya generasi sekarang dan akan datang dapat menjadikan peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa negara di bawah pengaruh penjajahan barat sebagai satu pengajaran yang benar-benar bermanfaat.

3.2      PENGENALAN KEPADA GERAKAN PENJAJAHAN

Sebelum kita pergi lebih jauh, adalah wajar untuk kita bersama-sama membincangkan definisi bagi istilah-istilah yang berkait rapat dengan apa yang kita kenali sebagai gerakan penjajahan. Kolonialisme atau kadangkala kita sebut juga sebagai imperialisme merupakan dua perkataan yang sering disinonimkan dengan gerakan penjajahan ini. Jika di lihat secara umum, kedua-dua perkataan atau istilah ini seolah-olah menggambarkan makna yang sama. Bagaimanapun pada hakikatnya, ianya hanyalah hampir sama pada makna kerana amat berkait rapat.

3.2.1    Definisi

Apakah yang tergambar dalam fikiran anda apabila kita memperkatakan tentang istilah kolonialisme dan imperialisme? Tidak dapat tidak saya nafikan, bahawa perkataan pertama yang pasti terlintas difikiran anda ialah perkataan penjajahan. Cheah Boon Kheang dan Abu Talib bersetuju bahawa tidak salah untuk kita menanggap kedua-dua istilah sebagai sama kerana kedua-dua istilah ini sering digunakan saling bertukar ganti.1 Walau bagaimanapun, kedua-dua istilah mewakili makna dan maksud yang berbeza dan tersendiri, biarpun ianya mempunyai kaitan yang amat rapat. Kaitan yang dimaksudkan ialah bagaimana konsep bagi satu istilah iaitu imperialisme, pada hakikatnya mungkin adalah lanjutan atau mempunyai kesinambungan dengan istilah kolonialisme ataupun sebaliknya.

Bagi memudahkan pemahaman anda, saya bawakan beberapa definisi yang diberikan oleh kalangan sarjana sebagai panduan untuk memahami dan mengenali istilah-istilah tersebut.

1.         Kolonialisme

Secara umum, dapatlah kita jelaskan bahawa kolonialisme bermaksud dasar sesebuah negara yang mengeksploitasi sesuatu kawasan serta masyarakatnya yang dianggap lemah. Pengeksploitasian itu meliputi berbagai sudut seperti ekonomi, sosial, budaya, corak pentadbiran, serta politik atau secara ringkasnya meliputi kesemua cara hidup masyarakat tersebut.2

Plano dan Olton di dalam tulisannya mentafsirkan kolonialisme sebagai satu bentuk pemerintahan ke atas sesebuah kawasan dan penduduknya oleh sebuah kuasa asing dengan menjalankan polisi imperialisme. Migrasi turut terlibat (dari negara asal ke kawasan baru) yang seterusnya membentuk satu entiti politik baru  ke atas kaum asal yang mempunyai pengetahuan dan teknologi (kemajuan) yang rendah seperti di Asia dan Afrika.3

Tafsiran Plano dan Olton jelas dipersetujui Evans dan Newham yang menggambarkan sifat dasar kolonialisme yang memberi ruang rakyat asing yang minoriti mendominasikan politik dan ekonomi negara tersebut. Ia memisahkan pusat kota metropolitan bagi mengukuhkan kekuasaan dan menindas golongan bawahan. 4

Tidak hairanlah Nadel dan Curtis beranggapan kolonialisme sebagai satu penindasan, penghinaan atau eksploitasi terhadap penduduk peribumi oleh penjajah di tanah jajahan. Berasaskan pandangan Nadel dan Curtis, jelas dapat kita lihat dasar utama tindakan kolonialisme adalah lebih menjurus kepada bentuk penjajahan yang buruk terutama di sudut penindasan, penghinaan dan pengeksploitasian. Penjajah datang hanya untuk mengeksploitasi pelbagai sudut kehidupan masyarakat peribumi seperti dalam bidang ekonomi, sosial, politik, petempatan dan sebagainya.5


2.         Imperialisme

Imperialisme secara umum membawa pengertian perluasan kekuasaan atau pengaruh suatu bangsa terhadap bangsa lain. Manakala, Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka secara ringkas mentakrifkan imperialisme sebagai dasar meluaskan sesebuah empayar dengan menjajah negara lain.6 Negara-negara besar atau kuasa-kuasa besar telah wujud sejak awal sejarah manusia lagi seperti di Mesir, Mesopotamia, Assyria, dan Persia. Imperialisme kuno mencapai kemuncak di zaman Rumawi dan Byzantium (Rumawi Timur).

Manakala falsafah imperialisme hari ini lebih menjurus kepada definisi moden yang wujud hasil daripada kebangkitan faham nasionalisme moden. Konsep imperialisme yang diterima ramai pada hari ini adalah merupakan kesan letusan kebangkitan gerakan merkantilisme yang juga merupakan kesinambungan sifat kolonialisme dan asas kepada kapitalisme moden. Karl Marx menyatakan imperialisme sebagai satu tingkatan dalam perkembangan kapitalisme sewaktu perluasan kuasa Eropah ke Asia dan Afrika di sekitar tahun 1750an – 1914.7

Nadel dan Curtis pula mentakrifkan imperialisme sebagai satu perkembangan kuasa atau kawalan, sama ada secara langsung atau tidak dalam politik atau ekonomi oleh sesuatu kerajaan, bangsa, atau masyarakat ke atas bangsa atau masyarakat yang lain. Proses ini di dokong oleh idea tersendiri.8

Secara umumnya, definisi-definisi yang diberikan di atas seakan-akan mempunyai persamaan makna dengan istilah kolonialisme. Namun begitu, terdapat perbezaan di mana konsep imperialisme dibentuk di negara asal kuasa penjajah dan kemudiannya dikembangkan ke negara jajahan. Ini disokong oleh penjelasan Fieldhouse yang mendefinisikan imperialisme sebagai satu kecenderungan sesuatu masyarakat atau pemerintahan untuk mengawal masyarakat lain dalam pelbagai tujuan.9

3.3       PERKEMBANGAN GERAKAN PENJAJAHAN

Dalam bahagian yang lalu, saya telah sebutkan bahawa persamaan dasar-dasar kolonialisme dan imperialisme adalah dari segi matlamat, iaitu untuk gerakan penjajahan, tetapi adalah baik juga untuk anda memahami faktor-faktor penggalak untuk kedua-dua dasar ini bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas. Kedatangan kuasa Eropah ke benua sebelah timur adalah bermatlamatkan penjajahan, tetapi adakah hanya hendak mengaut segala keuntungan sahaja tanpa peduli tentang tanah jajahan tersebut atau sebaliknya? Ciri-ciri yang dilahirkan oleh perlakuan penjajah akan menggambarkan wajah atau rupa setiap dasar yang akan kita bincangkan ini.

3.3.1      Faktor-Faktor Penggalak Kolonialisme

Para sarjana melihat tindakan-tindakan penjajahan kolonialisme berpunca daripada beberapa faktor. Kebanyakan mereka bersetuju faktor-faktor kedatangan kuasa Eropah ke benua Asia adalah untuk memenuhi inspirasi konsep kolonialisme yang dipengaruhi slogan "Gold, Glory and God". Perry Marvin  telah menjelaskan teori kebangkitan kuasa Eropah sebagai kolonialis atau penjajah sebagaimana berikut:
1.            Gold (Keperluan kepada tanah)

Hasil kemajuan ilmu pengetahuan di Eropah, lebih-lebih lagi kesan daripada pengaruh tamadun Islam dan Asia telah mempercepatkan perkembangan masyarakat Eropah. Pada masa yang sama juga, sistem pertanian telah berkembang maju, begitu juga dengan sistem kesihatan dan perubatan yang bertambah baik. Faktor kemajuan ini telah menggalakkan lagi jumlah kelahiran dan mengurangkan jumlah kematian, dan telah menambah bilangan penduduk. Akibatnya, wujud masalah iaitu kekurangan pada tanah-tanah untuk didiami dan dikerjakan.10

Sementara itu, golongan bangsawan yang banyak menguasai tanah-tanah, mula melihat pilihan yang lain bagi menambahkan hasil kekayaan mereka. Mereka mula melihat penerokaan tanah yang baru di luar negara khususnya di Asia dan Afrika sebagai cara terbaik memenuhi ketamakan mereka. Tidak dapat dinafikan, Asia dan Afrika merupakan kawasan yang kaya dengan sumber ekonomi seperti rempah dan juga galian seperti emas.

Selain itu, Asia juga merupakan pusat tumpuan persinggahan pedagang (seperti di Melaka) antara China dan India. Kesan daripada penambahan hasil keuntungan melalui perdagangan secara langsung membuat para bangsawan ini tamak dan tidak lagi mahu berurus niaga dengan orang tengah. Bagi mereka, adalah lebih baik terus keluar membuat urus niaga secara langsung dengan pihak pemilik sumber asal terutamanya para pedagang Arab dan Asia yang lain.

2.            Glory (Permusuhan tradisi di antara negara-negara Eropah)

Penggabungan kuasa Ferdinand The Castille dan Isabella The Aragon di Sepanyol dan perlaksanaan konsep pemusatan kuasa dalam pemerintahan telah berjaya menjatuhkan kerajaan Granada di Andalusia, iaitu kerajaan Islam terakhir di benua Eropah. Faktor ini telah menggalakkan lagi kerajaan Sepanyol yang baru itu untuk meluaskan lagi tanah jajahan mereka. Mereka merasa megah dengan kejayaan penggabungan dan kemakmuran yang dirasai di dalam negeri. 

Walau bagaimanapun, Sepanyol kemudiannya merasa bimbang dan iri hati melihat negara jiran mereka, Portugal yang menjadi lebih berjaya daripada mereka menerusi aktiviti penerokaan dunia baru seperti kejayaan Vasco Da Gama, Putera Henry dan Bartholomiew Diaz. Kejayaan Portugal ini dirasakan sebagai satu usaha mendapatkan kelebihan sekaligus menjadi satu ancaman kepada Sepanyol.11

Justeru itu, adalah menjadi keperluan Sepanyol untuk mendahului Portugal dalam persaingan mendapatkan tanah jajahan yang baru. Sepanyol ingin menunjukkan bukti kekuatan dan pengaruh mereka sebagai satu kuasa besar, ditambah lagi selepas kejayaan menghancurkan kerajaan Islam terakhir di bumi Sepanyol.

Persaingan yang asalnya adalah untuk memenuhi keperluan hidup dan kekayaan telah bertukar menjadi satu persaingan memburu kemegahan. Kerakusan memburu kemegahan ini kemudiannya disertai pula oleh negara-negara Eropah lain yang turut tidak mahu ketinggalan meletakkan nama mereka sebagai kuasa besar seperti Belanda, Jerman, Perancis dan Britain.

3.            God  (Agama)

Satu faktor utama yang membantu perkembangan penguasaan kuasa Eropah terhadap kawasan-kawasan di sebelah benua Asia dan Afrika ialah agama. Usaha terhadap pengembangan agama diperkukuhkan oleh legenda dan mitos akan wujudnya kerajaan Kristian di Timur yang diketuai oleh seorang "Messiah" atau "The Great Saviour" atau seorang ‘penyelamat’  bernama Prester John.

Pihak gereja yang mewakili pihak berkuasa agama di negara-negara Eropah yang berlumba-lumba menuju ke benua sebelah timur, percaya akan wujudnya sebuah kerajaan Kristian di situ. Mereka percaya dan yakin apabila ditemui kelak, kerajaan Kristian di benua sebelah timur ini akan dapat bergabung dengan negara-negara Kristian di Eropah untuk mengalahkan kuasa Islam yang pada ketika itu menguasai kebanyakan kawasan di Eropah, Asia dan Afrika.12

Perasaan sebegini dapat difahami kuat melekat di hati para peneroka seperti Putera Henry dan juga mereka yang berasal dari kawasan Semenanjung Liberia atau Sepanyol dan Portugal. Selama 500 tahun mereka berjuang untuk mengalahkan dan menjatuhkan Islam sehinggalah musnahnya kerajaan Islam Granada. Perasaan kuat menyokong unsur keagamaan ini amat berkait rapat dengan sistem juga norma-norma kehidupan masyarakat Eropah yang pada ketika itu kuat diikat oleh pengaruh penguasaan gereja terutamanya di Sepanyol dan Portugal.

3.3.2    Faktor-Faktor Penggalak Imperialisme

Biarpun wujud seakan persamaan dari segi konteks gerakan penjajahan di antara kolonialisme dan imperialisme, namun imperialisme pada hakikatnya mempunyai faktor-faktor tersendiri yang menjadi asas dorongan kepada kebangkitannya. Dasar-dasar imperialisme adalah lebih di dorong oleh perkembangan semasa di Eropah yang sibuk memperjuangkan faham nasionalisme dan negara bangsa (nation states). Di antara faktor-faktor penggalak yang digariskan oleh ramai sarjana ialah:

1.    Etnosentrisme

Hasil perkembangan nasionalisme moden yang hebat di kebanyakan negara Eropah pada tahun-tahun 1750an hingga 1914, konsep kemegahan melalui penjajahan berbentuk kolonialisme telah berubah corak menjadi lebih agresif dengan memandang kemegahan dan ketinggian bangsa masing-masing. Walaupun tidak dinafikan idea bangsa terpilih atau ummatan mukhtarah telah lama diwujudkan oleh kaum bani Israel tetapi dalam tempoh yang tersebut, pemikiran sebegini telah semakin bertambah subur.

Penjajahan dilakukan bagi memuaskan hati megah mereka dan dilakukan dengan anggapan mereka tidak melakukan sebarang kesalahan. Ini dilakukan pada asalnya sebagai sumber kemegahan dengan menjadikan benua Asia sebagai sasaran uatam diikuti dengan benua Amerika dan Afrika. Senario ini kemudiannya telah bertambah agresif apabila mereka mula memandang hina bangsa lain di dalam benua mereka sendiri dan pada kemuncaknya berlakulah Perang Dunia Pertama.13

2.    Jingoisme

Kesan secara langsung akibat daripada etnosentrisme ini ialah pemupukan semangat patriotisme melampau yang timbul di kalangan kuasa-kuasa Eropah. Akibatnya, perasaan benci yang tinggi timbul di antara kaum dan bangsa yang hidup di Eropah pada ketika itu dan mengakibatkan mereka mula meluaskan percakaran mereka keluar negara dan menjadikan negara-negara yang lemah di Asia, Amerika dan Afrika sebagai sasaran menunjukkan keegoan juga bahan penindasan bagi menunjukkan kuasa mereka.14

3.    Agama

Agama turut memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pemikiran manusia di Eropah yang mengakibatkan berlakunya imperialisme. Misi agama Kristian yang membawa tugas suci menyelamatkan umat manusia daripada penindasan dan ketidakadilan terutama di negara-negara mundur seperti di Asia dan Afrika telah mewujudkan fahaman "the white men burden" atau "tugas suci orang kulit putih". Fahaman ini memberi maksud bangsa selain orang kulit putih atau Kristian adalah lebih merupakan beban yang ditakdirkan Tuhan kepada mereka (orang kulit putih) untuk di uruskan. Ini telah membawa mereka ke tanah-tanah baru yang diteroka oleh negara mereka. Ditambah pula dengan perasaan megah dan bangga diri yang sedia wujud hasil perkembangan nasionalisme moden, maka kuasa-kuasa Eropah ini lebih agresif melaksanakan aktiviti imperialisme di atas nama untuk menyelamatkan bangsa lain yang mundur.15

4.    Keinginan Mencapai Kuasa Besar

Kemegahan dan kegilaan yang dihasilkan daripada semangat nasionalisme yang tebal telah menggalakkan kepada wujudnya keinginan menjadi kuasa besar yang menguasai semua manusia di muka bumi ini. Jerman merupakan contoh terbaik bagaimana perasaan nasionalisme yang dipupuk oleh Bismarck pada tahun-tahun 1800an telah mengakibatkan dunia terheret ke dalam kancah Perang Dunia Pertama. Ini berlaku kerana ketamakan untuk menguasai seluruh Eropah.16

Berdasarkan kepada perbincangan yang di atas, saya berharap anda dapat memahami dengan lebih jelas bagaimana kedua-dua istilah atau dasar yang tersebut di atas berbeza di sudut pengertian khusus biarpun secara umumnya membawa maksud penjajahan.

Pada permulaan perbincangan ini, kita telah membincangkan definisi dan faktor-faktor penggalak kepada wujudnya gerakan penjajahan sama ada kolonialisme ataupun imperialisme. Jelas ditunjukkan dalam perbincangan kita, bahawa kolonialisme adalah merupakan satu dasar penjajahan di mana penaklukan dibuat ke atas sesuatu tempat baru untuk mendapatkan hasil mahsulnya. Hasil ketamakan mereka, kaum imigran telah dibawa masuk dan kumpulan minoriti orang asing ini kemudiannya secara perlahan-lahan menguasai negara yang terjajah tersebut. Justeru itu, dalam konteks kolonialisme dasar penjajahan dibuat atas dasar kepentingan pihak penjajah di segi pendapatan dan menggunakan kaum imigran sebagai batu loncatan untuk mempunyai kuasa di tanah jajahan mereka. 

Imperialisme pula, bolehlah di katakan sebagai satu kesinambungan atau lanjutan daripada sifat konsep kolonialisme tetapi lebih keras. Ini kerana penjajahan dilakukan oleh sesuatu bangsa terhadap masyarakat lain. Penguasaan ini melibatkan proses perkembangan kuasa dan kawalan melalui idea dan pemikiran mereka sendiri terhadap sistem politik dan ekonomi bagi meluaskan kuasa sesuatu empayar. Dasar ini lebih cenderung untuk menyebarkan idea kebendaan dan kemegahan dari barat, iaitu dengan menonjolkan sifat keunggulan sesuatu bangsa.


Justeru itu, penaklukan di buat bukan sahaja kerana hasil mahsul yang hendak diperoleh di negara tersebut tetapi juga penguasaan terhadap rakyat dan pemerintahan di negara tersebut. Ini dilakukan lebih-lebih lagi berdasarkan kemunculan faham imperialisme ini yang berkait rapat dengan peranan mendapatkan kebanggaan menerusi perluasan kuasa dan pengiktirafan sebagai bangsa terulung dan terunggul di dunia. Pentadbiran biasanya bercorak pemusatan di mana dasar-dasar yang hendak dilaksanakan di negara yang dijajah akan di rujuk dan dibuat di ibu negara yang terlibat seperti London atau Paris.17

 
3.4       GERAKAN PENJAJAHAN BARAT DI TANAH MELAYU

Sejarah perkembangan gerakan penjajahan di negara ini telah wujud sejak awal lagi— dilakukan oleh kerajaan atau empayar besar yang terdiri dari negara-negara jiran seperti Srivijaya, Majapahit, Pasai, dan Siam. Bagaimanapun, negara atau empayar yang menawan kawasan-kawasan di Tanah Melayu pada waktu itu tidaklah memberi kesan yang jelas terhadap penguasaan mereka berbanding dengan kuasa barat yang datang kemudian.

1.4.1      Kedatangan Penjajah Barat

Adakah anda tahu, negara barat manakah yang mula-mula sekali meluaskan kuasa mereka di Tanah Melayu? Portugis yang membuka lembaran baru penerokaan memulakan proses penjajahan barat di Tanah Melayu pada tahun 1509 apabila mereka datang untuk berdagang. Ketamakan dan rasa iri hati yang wujud secara berleluasa di kalangan orang-orang Melayu akhirnya mengakibatkan penaklukan Empayar Melayu Melaka oleh kuasa Portugis pada tahun 1511. Sejarah kemudiannya mencatatkan jatuhnya kuasa Portugis di Melaka ke tangan Belanda pada tahun 1641. Penguasaan Belanda ini berterusan sebelum British mengambil alih Melaka setelah perjanjian Straits Settlement ditandatangani pada tahun 1824.


Pada pendapat anda, mengapakah Tanah Melayu amat menarik perhatian kolonialis barat?


Persoalan di atas sering ditimbulkan kerana sejarah telah membuktikan bahawa Tanah Melayu sememangnya menarik perhatian penjajah sama ada dari Timur atau Barat. Sarjana telah menggariskan beberapa faktor yang menyebabkan Tanah Melayu menjadi tumpuan tarikan,  iaitu:

1.         Kedudukan Geografi Tanah Melayu

Kedudukan Tanah Melayu yang merupakan sebuah semenanjung dan betul-betul terletak di antara jalan perdagangan di antara benua sebelah timur dan benua sebelah barat amatlah strategik sebagai sebuah pusat perdagangan. Kawasannya yang meliputi hampir keseluruhan Selat Melaka dan dilindungi pula oleh Pulau Sumatera memberikan satu ruang atau jalan laut yang selamat dan terlindung dari taufan, ribut dan gelora lautan. Keadaan ini memudahkan para pelaut dan pedagang untuk berlabuh dan berlindung pada waktu perjalanan mereka apabila diserang angin monsun sama ada timur laut atau pun barat daya. Ciri-ciri geografi ini menjadi faktor penarik kepada sebarang kuasa besar yang memerlukan keselamatan untuk jalan perdagangan dan perlindungan bagi keselamatan dari ancaman semula jadi ataupun yang dilakukan manusia.
       
2.         Bahan Mentah

Tanah Melayu yang kaya dengan pelbagai bahan mentah seperti bijih timah telah menjadi sasaran kuasa-kuasa besar menjajahnya dan menguasai sepenuhnya sumber ekonomi di Tanah Melayu. Tanah Melayu telah terkenal dengan gelaran Golden Chersoneves ataupun Suvarnabhumi yang menggambarkan hasil buminya seperti emas dan timah yang banyak. Manakala, Tanah Melayu juga sering digunakan sebagai pelabuhan entrepot yang mengumpulkan hasil-hasil hutan terutamanya untuk para pedagang sejak awal kewujudan tamadun di tanah semenanjung ini. Bahan-bahan seperti kayu manis, buah pala, rotan, sagu dan lain-lain diperlukan oleh para pedagang selain bekalan air dan makanan untuk bekalan perjalanan mereka. Selepas kedatangan kuasa barat dan penemuan bijih timah secara meluas, Tanah Melayu menjadi bertambah penting bagi kuasa-kuasa penjajah ini.

3.         Pasaran Baru

Sementara itu, di Eropah pada abad ke-14 dan 15 sedang rancak dengan projek penjelajahan dan penemuan (Exploration and Discoveries). Revolusi perindustrian telah menyebabkan kuasa-kuasa besar di Eropah keluar dari benua Eropah dan mencari penempatan dan pasaran baru bagi perdagangan mereka. Kedudukan Tanah Melayu di tengah jalan perdagangan menjadi tarikan kepada kuasa-kuasa Eropah untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai salah sebuah pusat pasaran dan perdagangan mereka. Pasaran di Eropah menjadi sukar akibat semua kuasa besar mula mencipta dan mengeluarkan bahan baru. Ini mewujudkan persaingan sengit untuk mendapatkan lokasi dan pasaran baru pengeluaran masing-masing. Selain itu, keperluan terhadap bahan mentah yang berkaitan dengan industri seperti bijih timah dan besi juga meningkat dengan mendadak.

4.         Pangkalan Tentera

Anda telah sedia maklum kedudukan Tanah Melayu di Selat Melaka yang merupakan jalan perdagangan penting di Asia. Faktor kedudukan ini juga sebenarnya amat penting kepada kesesuaiannya menjadi pangkalan tentera. Kalau di lihat sejarah awal kedatangan kuasa penjajah barat ke Tanah Melayu, mereka datang bukan sahaja untuk mencari sebuah pelabuhan persinggahan tetapi juga adalah kerana strategi ketenteraan. Ini boleh anda fahami jika anda bayangkan kedudukan negara mereka yang jauh di Eropah dan kawasan-kawasan yang mereka lawati untuk tujuan perdagangan atau mendapatkan kekayaan adalah jauh di benua Asia. Di dalam konteks ini, perkara utama yang difikirkan oleh kuasa-kuasa besar ini tentulah keselamatan angkatan atau rombongan mereka.

Oleh itu, satu cara terbaik yang perlu mereka lakukan ialah mencari sebuah tempat yang dapat menjadi pelabuhan persinggahan dan sekaligus memenuhi keperluan-keperluan keselamatan dan ketenteraan. Contoh terbaik yang boleh anda lihat ialah kedatangan Kapten Francis Light ke Pulau Pinang yang dipajak oleh British dari Kerajaan Kedah sebagai pelabuhan persinggahan, dan juga sebagai pangkalan tentera untuk mengawal ancaman pelanunan serta kuasa asing yang lain seperti Belanda, Perancis, dan Jerman dari menggugat kapal-kapal perdagangan mereka yang menggunakan laluan di Selat Melaka. Pulau Pinang kemudiannya kalau anda lihat telah menjadi antara tempat terawal dalam senario perluasan kuasa British di Tanah Melayu.

5.         Prester John

Akhirnya, mungkin anda masih ingat apa telah saya jelaskan pada bahagian awal bab berkenaan kepentingan agama dalam menggalakkan aktiviti penjajahan. Sebagaimana yang anda maklum, pada waktu itu orang-orang Kristian di Eropah sedang rancak menentang penguasaan empayar Islam. Pihak gereja telah menjanjikan kedatangan seorang Messiah atau The Great Saviour atau penyelamat agung. Di antara versi yang timbul dari janji pihak gereja itu ialah kehadiran seorang yang bernama Prester John yang akan muncul di benua sebelah timur. Kepercayaan ini telah menyebabkan orang-orang Kristian seperti Putera Henry dari Portugal telah melancarkan gerakan mencari Prester John di sebelah timur dengan harapan gabungan kerajaan Kristian sebelah timur dan kerajaan Kristian mereka dapat menjatuhkan empayar Islam secara keseluruhannya.18

1.4.2      Dasar Campur Tangan British di Tanah Melayu

Anda kini tentu telah memahami sedikit-sebanyak bahawa  dasar awal pihak penjajah barat termasuk British adalah jelas, iaitu mereka datang hanya untuk mengaut hasil keuntungan di Tanah Melayu tanpa peduli dan campur tangan dalam hal ehwal urusan orang Melayu dan negeri-negeri Melayu. Hanya pada tahun 1874 secara rasmi British mula campur tangan dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu. Ini dilakukan setelah termeterainya Perjanjian Pangkor, di Perak pada tahun 1874. Bermula daripada perjanjian tersebut, pihak British bukan sahaja mengekalkan kuasanya, malahan terus meluaskan pengaruh mereka di negeri-negeri Melayu yang lain sehinggalah kemerdekaan dicapai pada tahun 1957. Sesungguhnya perjanjian 1874 itu merupakan titik permulaan kepada satu perubahan besar di Tanah Melayu. Berdasarkan perkara-perkara yang telah kita bincangkan sebelum ini, dapatkah anda bayangkan apakah sebab-sebab yang memungkinkan campur tangan tersebut?.

Pada hakikatnya, dasar campur tangan British ini dilakukan berdasarkan beberapa faktor yang banyak dipengaruhi oleh keadaan di Tanah Melayu pada masa itu. Di antara faktor-faktor yang digariskan ialah



1.         Faktor  Ekonomi

Sememangnya sebagaimana yang anda ketahui, ekonomi adalah faktor paling penting mengapa British campur tangan di Tanah Melayu. Ini banyak dikaitkan dengan perkembangan revolusi perusahaan atau perindustrian yang berlaku di Eropah. Perusahaan yang membabitkan keperluan bahan mentah seperti bijih timah sedang berkembang pesat dan ini memaksa British memberi perhatian yang lebih terhadap Tanah Melayu yang kaya dengan bijih timah, ditambah pula dengan sektor perlombongan bijih timah yang kebanyakannya dikuasai oleh saudagar-saudagar British dan Cina yang berkerakyatan British.19

Selain itu, sekatan-sekatan perdagangan yang dilakukan oleh Belanda terhadap pengaruh kuasa lain di Indonesia turut menyekat kemaraan British di kawasan lain di rantau ini. Ini menyebabkan mereka terus menumpukan perhatian kepada Tanah Melayu bagi mendapatkan hasil yang diperlukan.

2.         Faktor Ancaman dan Persaingan Pengaruh Asing

Akibat revolusi industri dan keperluan kepada bijih timah, maka Tanah Melayu menjadi harta paling berharga buat British. Walau bagaimanapun, pada masa yang sama kuasa-kuasa lain turut berminat dan mengintai peluang untuk melibatkan diri dalam pergolakan politik yang ada. Keadaan ini disedari British lebih-lebih lagi apabila mereka  menyedari penguasaan penuh Belanda di Indonesia dan Sepanyol di Filipina.  Selain itu, British turut menyedari kepentingan Tanah Melayu sebagai jalan perdagangan dunia, di mana Selat Melaka menjadi penghubung di antara kawasan timur dan barat.

Tidak dapat dinafikan persaingan imperialisme di kalangan negara-negara besar, terutamanya dari Eropah untuk membuka tanah jajahan juga membuat British memikirkan keperluan lebih awal campur tangan di Tanah Melayu sebelum kuasa penjajah yang lain berbuat terlebih dahulu.

3.         Pergolakan Politik di Tanah Melayu

Di sekitar tahun 1860an hingga 1880, suasana di Tanah Melayu terutamanya di negeri-negeri pantai barat berada dalam keadaan huru hara akibat pergolakan politik yang melibatkan perebutan takhta dan perang saudara. Suasana bertambah buruk apabila setiap pergolakan melibatkan kawasan-kawasan perlombongan dan membabitkan buruh imigran Cina yang dibawa masuk oleh British. Kebimbangan British dapat dijangka kerana kepentingan British dalam sektor perlombongan bijih timah adalah besar dan dibimbangi akan terjejas dengan teruk.20
Perlombongan tidak dapat dijalankan kerana penglibatan buruh-buruh Cina yang menganggotai kumpulan kongsi-kongsi gelap Ghee Hin dan Hai San dalam pergolakan politik. Peralatan perlombongan musnah akibat pergaduhan dan peperangan. Suasana tidak tenteram tidak memungkinkan pekerjaan di lombong dapat dibuat kerana ketakutan akibat peperangan. Situasi ini mendatangkan kerugian dan dibimbangi akan memusnahkan industri perlombongan bijih timah. Selain itu, pergolakan yang berlaku akan merebak dari satu kawasan ke kawasan atau negeri yang lain, sebagai contoh perang saudara di Larut Perak dibimbangi akan merebak ke Pulau Pinang yang juga mempunyai ramai imigran Cina.21

4.         Perubahan Pucuk Pimpinan di Britain

Parti Konservatif yang diketuai oleh Disraeli telah memenangi pilihan raya di Britain pada tahun 1873. Mereka telah mengambil alih kuasa dari Parti Liberal yang memerintah. Di antara dasar baru yang di ambil oleh Parti Konservatif selepas memenangi pilihan raya ialah dengan mengubah dasar Pejabat Tanah Jajahan untuk masuk campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri-negeri di Tanah Melayu. Tindakan ini mengakhiri dasar Parti Liberal yang tidak berminat untuk campur tangan kerana berpegangkan matlamat dasar penjajahan kolonialisme untuk mengaut keuntungan sahaja tanpa mengambil sebarang risiko untuk bertanggungjawab terhadap apa-apa yang terjadi di negeri yang mereka jajahi.22

Perubahan ini di lihat jelas dipengaruhi oleh perkembangan semasa pada masa tersebut, di mana bentuk penjajahan berbentuk imperialisme yang ditunjangi oleh kemegahan nasionalisme dan jingoisme. Bagi memastikan Britain tidak ketinggalan dari segi pengiktirafan antarabangsa sebagai satu kuasa empayar yang kuat, kerajaan Konservatif di bawah Disraeli bersedia menanggung sebarang risiko dan tanggungjawab untuk campur tangan dan menguruskan tanah jajahan yang ada. Mereka bersedia mengaut sebanyak-banyak keuntungan dari negeri-negeri yang dijajah dan bersedia memikul beban tanggungjawab dan mengatasi sebarang masalah sewaktu proses mendapatkan keuntungan tersebut.

1.4.3      Dasar-Dasar Penjajahan British di Tanah Melayu

Sewaktu tempoh penjajahan, British telah membuat dan melaksanakan pelbagai dasar yang meliputi aspek sosial, ekonomi, dan politik. Dalam melaksanakan dasar-dasar penjajahan, secara langsung ataupun tidak langsung telah mengubah wajah asal Tanah Melayu. Justeru itu, pada bahagian ini saya akan membincangkan dasar-dasar yang dilaksanakan British sehingga mengubah sistem kehidupan masyarakat Melayu yang sedia ada. 
Hakikatnya, semua dasar yang dilaksanakan oleh British adalah berasaskan dasar ‘pecah dan perintah’. Walau bagaimanapun, berbeza dengan negara-negara lain, dasar pecah dan perintah yang dilakukan oleh British di Tanah Melayu bukan melalui paksaan. Ia dilakukan secara berhati-hati dan perlahan-lahan seolah-olah ianya berlaku secara semula jadi. Oleh kerana dasar-dasar yang dilaksanakan British di Tanah Melayu terlalu banyak, saya hanya menumpukan kepada beberapa dasar penting yang mempunyai kesan yang besar dan meliputi faktor-faktor penting kepada proses perubahan di Tanah Melayu seperti dasar pelajaran, ekonomi, dan pentadbiran. Pembahagian ini dibuat bagi memudahkan para pelajar untuk menghubungkaitkan dasar-dasar yang ada dengan dampak proses penjajahan yang dibuat berasaskan dasar utama tersebut.

Sebelum perbincangan ini pergi lebih jauh, apa yang harus anda ingati ialah, perbincangan ini akan hanya meliputi beberapa dasar British yang penting sahaja, dan tidak meliputi semua dasar British yang telah dilaksanakan oleh mereka sepanjang tempoh penjajahan. Selain itu, saya harap anda semua mengimbas kembali ingatan anda kepada apa yang telah anda pelajari dalam bab yang lepas berkenaan Masyarakat Melayu Tradisi (MMT). Ini adalah perlu untuk membantu anda membuat perbandingan dan juga membantu memberi gambaran yang lebih jelas kepada apa yang akan kita bincangkan dalam topik ini dan topik berikutnya iaitu dasar-dasar penjajahan dan dampak-dampaknya dari segi sosial, ekonomi, dan politik.

1.         Sosial

Dasar paling utama yang telah dilaksanakan oleh British ialah kemasukan imigran asing dari China dan India ke Tanah Melayu. Mereka yang didatangkan sebagai buruh-buruh di lombong dan ladang telah dibawa masuk tanpa had. Ini dilakukan oleh British bagi memenuhi matlamat penjajahan mereka yang ingin mengaut sebanyak-banyak keuntungan dari Tanah Melayu tanpa memperdulikan keadaan masyarakat Melayu pada masa tersebut. Jumlah migrasi yang ada pada suatu ketika telah hampir mengatasi jumlah penduduk asal negara ini.

Kemasukan buruh-buruh asing yang dibawa khusus kerana tujuan melombong dan menoreh getah kemudiannya telah membentuk masyarakat baru dalam negara ini. Mereka juga telah diletakkan di kawasan-kawasan yang terpisah daripada kaum-kaum lain. Interaksi sememangnya tidak berlaku kerana masing-masing bergerak dalam kawasan yang berkaitan dengan kegiatan ekonomi masing-masing. Ini adalah penting bagi British yang berusaha menghalang kewujudan perpaduan antara kaum. British amat menyedari jika perpaduan antara kaum dapat dilaksanakan, boleh menyukarkan pentadbiran mereka. Ini jelas merupakan gambaran pada tonggak dasar kolonialisme British sendiri iaitu dasar pecah dan perintah.

Di samping itu, antara dasar lain yang harus di beri perhatian ialah dasar pendidikan British. Dasar ini perlu ditekankan kerana pendidikan akan membentuk keadaan sosial masyarakat. Sistem pendidikan British pada umumnya dilaksanakan berdasar sistem vernakular yang mana pendidikan dibuat berdasarkan kaum masing-masing. Ini bermaksud sistem pendidikan tersebut adalah bergantung sepenuhnya kepada bahasa dan sukatan pelajaran kaum masing-masing.

Justeru itu,  wujud banyak sekolah yang berasaskan kaum, iaitu Sekolah Cina, Sekolah Tamil, Sekolah British dan Sekolah Melayu. Sekolah-sekolah Cina dan Tamil menggunakan bahasa masing-masing sebagai bahasa pengantar dan sukatan pelajaran yang diambil terus daripada negara asal mereka. Sementara Sekolah British pula banyak dijalankan oleh mubaligh Kristian dan berasaskan pendidikan British yang diambil daripada negara Britain sepenuhnya. Manakala sekolah Melayu pula masih berasaskan pelajaran agama dan bercampur sedikit dengan pendidikan akademik yang mempunyai pengaruh British.

Dasar ini secara umumnya ialah untuk memenuhi matlamat dasar penjajahan British yang cuba memastikan taraf pendidikan di sekolah-sekolah sedia ada tidak akan seragam dan sekaligus memastikan taraf pendidikan yang diterima oleh rakyat terutamanya orang-orang Melayu adalah di tahap yang rendah. Ini bagi memastikan masyarakat Melayu terus ketinggalan dan memudahkan British memberi alasan bahawa Tanah Melayu belum mampu untuk bebas dan mentadbir negara  bersendirian.23

Bagi memenuhi tujuan tersebut, ukuran rendah atau tinggi taraf pendidikan orang Melayu sering di sukat bersama taraf pendidikan di negara Britain. Walaupun pada hakikatnya masyarakat Melayu adalah rajin berasaskan pekerjaan dalam sistem ekonomi tradisi tetapi British sering menanamkan kata-kata bahawa masyarakat Melayu adalah malas dan mudah berpuas hati. Sedangkan pada masa yang sama, adalah jelas orang Melayu tidak diberi kesempatan mendapat pendidikan yang terbaik.24

Keadaan menjadi semakin parah lagi apabila British membawa imigran-imigran asing terutamanya dari India untuk bekerja sebagai pendidik di Tanah Melayu. Secara umumnya, jelas memberi gambaran bahawa taraf pendidikan di Tanah Melayu terutamanya kepada masyarakat Melayu akan terus kekal tidak dapat melebihi taraf pendidikan Inggeris yang sebenar kerana mereka hanya dididik oleh pendidik dari negara yang terjajah juga. Situasi di atas jelas menonjolkan ketidakikhlasan British dalam memajukan pendidikan orang-orang yang mereka jajahi.

2.         Ekonomi

Dari aspek ekonomi, jelas menunjukkan penjajahan British telah mengubah hala tuju ekonomi tradisi di Tanah Melayu yang pada asalnya berasaskan ekonomi sara diri kepada bentuk ekonomi moden yang lebih bersifat komersial atau perdagangan dan keuntungan. Bolehkah anda memahami tujuan British tersebut? Ini boleh di lihat dari sudut kehendak dasar kolonialisme yang telah kita bincangkan pada awal bab ini.

Perkembangan ekonomi moden bermula dengan kewujudan hasil bijih timah di Perak yang menghasilkan Perjanjian Pangkor 1874. Apa yang menarik, perlaksanaan ekonomi moden ini dilakukan oleh British secara berhati-hati bagi memastikan tujuan asal dasar kolonialisme British untuk mengenepikan masyarakat Melayu daripada sebarang kemajuan akan tercapai. Ini perlu kerana masyarakat Melayu yang maju di lihat sebagai ancaman kepada pentadbiran penjajahan.

Justeru itu, orang-orang Melayu di sisih dengan tidak diajak atau digalakkan sama sekali untuk terlibat dalam sektor perlombongan ini. Mereka yang dapat melibatkan diri hanyalah golongan pembesar yang mempunyai pengaruh ke atas sesuatu kawasan.  Ini dilakukan oleh British dengan menghebohkan propaganda mereka yang kononnya menghormati sistem ekonomi tradisi masyarakat Melayu yang lebih tertumpu kepada penanaman padi, penangkapan ikan dan penternakan selain mencari hasil hutan.25

Sebaliknya bagi memastikan sektor perlombongan ini terlaksana dengan lebih pesat, pihak British telah membawa buruh-buruh asing dari negara China. British mengambil peluang mendapatkan buruh-buruh yang murah dari negara China yang sedang menghadapi pelbagai masalah bencana alam seperti gempa bumi, banjir, dan kebuluran. Begitu jugalah apabila sektor perladangan getah meningkat dengan pesatnya di Tanah Melayu, pihak British terus mengenepikan orang-orang Melayu dengan membawa masuk secara besar besaran buruh-buruh dari India.

Semua ini dilakukan oleh pihak British dengan matlamat supaya masyarakat Melayu terus kekal dengan aktiviti-aktiviti ekonomi yang tidak menguntungkan, dan pada masa yang sama pihak British dapat juga mempergunakan orang-orang Melayu bagi menghasilkan barang keperluan makanan kepada British dan buruh-buruh asing yang di bawa masuk. Ini dilakukan dengan menggalakkan penanaman padi oleh orang Melayu yang sekaligus membantu menyediakan makanan untuk penduduk di Tanah Melayu yang semakin bertambah dengan kemasukan buruh asing yang tiada batasan.

Walau bagaimanapun, apabila segalanya telah diperolehi, konsep kolonialisme awal telah bertukar menjadi lebih agresif hasil daripada sikap tamak untuk menguasai segala-galanya di Tanah Melayu. Konsep imperialisme yang lebih campurtangan dan menguasai segalanya di tanah jajahan dilaksanakan. Ini berdasarkan keperluan semasa di mana negara Eropah yang lain turut berlumba bukan sekadar mendapatkan hasil tetapi menguasai negara dan rakyat di sesuatu tanah jajahan sebagai lambang pengaruh dan kemegahan.


1.    Politik

Dari segi politik, dasar penjajahan British cuba memastikan raja-raja Melayu atau sultan-sultan akan berada di bawah telunjuk mereka. Ini dilakukan British atas kesedaran bahawa pengaruh raja dan sultan ke atas rakyat jelata. Mereka bimbang seandainya raja dan sultan tidak di bawah kawalan mereka, akan berlaku kekecohan yang akhirnya mendorong raja dan sultan bersama rakyat menentang penguasaan mereka ke atas tanah Melayu. Anda boleh lihat dengan jelas apabila sistem residen British mula perkenalkan di Perak, dan bagaimana Raja Abdullah yang merupakan salah seorang waris raja yang berkuasa di negeri Perak bersama pembesar dan rakyat bangkit membunuh Residen J.W.W. Birch yang dilantik kerana tidak berpuas hati.

Berasaskan kesedaran inilah, apabila British memulakan campur tangan mereka selepas Perjanjian Pangkor 1874, mereka telah memperkenalkan sistem residen. Sistem residen yang merupakan sistem penasihatan oleh British dalam urusan pentadbiran negeri Melayu telah dilaksanakan di negeri-negeri yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu—Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Di dalam sistem ini, nasihat residen dalam hal-hal selain agama Islam  dan adat istiadat orang Melayu haruslah diikuti raja-raja.26

Walau bagaimanapun, sebenarnya langkah campur tangan dan penasihatan ke atas negeri Melayu telah lebih awal di buat di negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang dan Singapura yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Selat. Di negeri-negeri ini, British memerintah secara terus dari Pejabat Tanah Jajahan di London. Hanya dalam konteks negeri-negeri Selat, British berkuasa penuh terhadap negeri-negeri tersebut kerana sama ada ianya dijajah atau dipajak sepenuhnya dan ianya di tadbir oleh seorang gabenor bagi negeri-negeri Selat.

Langkah penasihatan yang terakhir ialah sistem Penasihat Negeri di negeri-negeri Melayu yang lain iaitu Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Johor—dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Di dalam negeri-negeri ini, Penasihat British akan membantu pentadbiran raja-raja dan sultan-sultan Melayu melainkan dalam hal-hal agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.

Sistem pentadbiran kemudiannya telah berubah terus mengikut arus pemodenan yang di bawa penjajah dan lebih mirip kepada suasana pemerintahan di negara asal mereka. Apabila semua negeri-negeri Melayu telah dapat dikuasai British menerusi sistem Residen dan Penasihat, kemudiannya telah mewujudkan persekutuan atau sistem kerajaan berpusat. Bermula dengan cadangan Malayan Union dan kemudiannya digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu diikuti pula sistem kabinet dan menteri diperkenalkan. Selepas pilihanraya 1952 dan 1955 sistem kerajaan berketua Menteri dan kabinet untuk pentadbiran telah dilaksanakan. Menerusi peringkat yang telah anda lihat, secara sedikit demi sedikit raja-raja disisihkan dari rakyat dan tanggungjawab pemerintahan.

3.4.4    Kesan Gerakan Penjajahan Barat di Tanah Melayu

Tanah Melayu akhirnya telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Setelah lebih kurang 400 tahun di bawah cengkaman penjajah barat, Tanah Melayu akhirnya bebas dan merdeka. Biarpun telah mencapai kemerdekaan, Tanah Melayu pada hakikatnya tidak dapat lari daripada kenyataan bahawa Tanah Melayu yang ada setelah merdeka dan Tanah Melayu yang wujud sebelum era penjajahan kuasa barat adalah dua suasana yang amat berbeza. Kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kepada negara ini bukanlah sedikit dan meliputi pelbagai sudut kehidupan termasuk ekonomi, politik dan sosial masyarakat di Tanah Melayu. Hasil penerapan dasar-dasar kolonialisme dan imperialisme barat yang dijalankan, corak pemerintahan, kegiatan ekonomi juga cara bersosial masyarakat di Tanah Melayu telah jauh berbeza. Hasil daripada itu dapatlah kita lihat dan gariskan tiga kesan utama yang wujud dalam masyarakat di Tanah Melayu dari segi sosial, ekonomi, dan politik.

1.    Sosial

Perubahan terbesar hasil dasar sosial British ialah kewujudan masyarakat berbilang kaum di Tanah Melayu. Masyarakat ini yang juga kita kenali sebagai masyarakat  majmuk adalah sebagai memenuhi aspirasi dasar kolonialisme. British telah mewujudkan satu masyarakat baru di Tanah Melayu. Tanah Melayu yang asalnya di diami masyarakat Melayu sahaja kemudiannya telah dipaksa menerima kedatangan imigran asing bagi memenuhi hasrat British untuk mengaut sebanyak-banyak keuntungan di Tanah Melayu. Imigran dari China dan India ini didatangkan khusus bagi memenuhi keperluan buruh untuk ditempatkan di lombong-lombong bijih timah dan di ladang-ladang getah.

Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat majmuk telah lama wujud sewaktu kewujudan Empayar Melayu Melaka yang menjadi pusat perdagangan terkenal pada sekitar kurun 13 - 15 Masihi. Namun begitu, pentafsiran masyarakat majmuk di zaman Empayar Melayu Melaka adalah jelas berbeza dengan masyarakat majmuk yang diwujudkan selepas kedatangan penjajah barat. Ini kerana masyarakat majmuk yang wujud di waktu kerajaan Melayu Melaka adalah jelas bersifat sementara kerana kebanyakan mereka adalah pedagang-pedagang asing yang datang untuk memperniagakan hasil mereka sahaja. Biarpun wujud sebilangan daripada mereka yang kekal tinggal dan bermastautin atas sebab perkahwinan atau sebagainya, jumlah mereka adalah kecil dan tidak mengubah suasana asal masyarakat terutamanya disegi perubahan strukur politik, ekonomi, dan sosial. Ini terutamanya disebabkan kesediaan mereka pada kebiasaannya untuk mengasimilasikan diri mereka ke dalam kebudayaan dan adat resam masyarakat Melayu.

Masyarakat majmuk di Tanah Melayu selepas kedatangan kuasa barat dan imigran asing pula telah mengubah hampir keseluruhan sistem masyarakat di Tanah Melayu. Di samping itu kedatangan masyarakat imigran juga telah mengubah komposisi kaum yang selama ini dikuasai sepenuhnya oleh orang Melayu. Jumlah kedatangan imigran yang tiada had telah hampir-hampir mengakibatkan jumlah orang Melayu di atasi oleh imigran-imgran asing. Suasana ini jelas amat merbahaya kepada kedudukan orang-orang Melayu sebagai penduduk asal Tanah Melayu.27

Dari segi pendidikan pula sistem vernakular yang dilaksanakan oleh British telah mengakibatkan perpecahan ketara di antara penduduk berbilang kaum. Anda sendiri boleh fahami apabila melihat bagaimana sukatan pelajaran dan bahasa yang digunakan di sekolah-sekolah vernakular yang tidak sedikit pun melambangkan suasana negara ini. Ini kerana dasar British tidak merangsang berlakunya perpaduan di antara kaum.

Selain itu, sistem pendidikan yang wujud jelas telah mengenepikan orang-orang Melayu daripada mencapai kemajuan. Pendidik bertaraf rendah dan sikap British yang tidak berhasrat membantu kemajuan orang Melayu dalam pendidikan mengakibatkan orang-orang Melayu menjadi kaum yang paling ketinggalan pada masa tersebut. Ini harus difahami kerana hasrat British sendiri yang tidak mahu keupayaan orang-orang Melayu dalam pendidikan menjadi masalah kepada mereka apabila kesedaran telah diterima.
2.         Ekonomi

Umumnya, dasar penjajahan British terhadap Tanah Melayu telah mengubah sistem ekonomi tradisi yang sedia wujud di Tanah Melayu. Masihkah anda semua ingat lagi, apakah sistem ekonomi tradisi? Sistem ekonomi tradisi, ialah sistem yang berasaskan ekonomi sara diri dan bertumpu kepada penanaman padi, penangkapan ikan, dan penternakan ladang. Sistem ini telah berubah apabila British menjalankan dasar ekonomi kolonialismenya dengan menjadikan sistem ekonomi yang wujud bermatlamatkan keuntungan.

Dalam perlaksanaan dasar ekonomi, British secara langsung dan tidak langsung telah mengasingkan kaum-kaum utama di Tanah Melayu iaitu orang-orang Cina, India dan Melayu mengikut kegiatan ekonomi masing-masing. Kegiatan ekonomi telah memisahkan setiap kaum mengikut kegiatan ekonomi dan sekaligus setiap kaum dikenali melalui kegiatan ekonomi mereka, sebagai contoh orang India dikenali sebagai penoreh getah, orang Melayu sebagai nelayan atau penanam padi, manakala orang-orang Cina sebagai pelombong. Hasil daripada pembahagian kaum mengikut kegiatan ekonomi, masyarakat yang wujud di Tanah Melayu turut terasing mengikut lokaliti atau kawasan kegiatan ekonomi masing-masing. Keadaan ini telah mengurangkan interaksi kaum dan akhirnya telah mewujudkan masalah perpaduan dikalangan kaum-kaum di negara ini.

3.         Politik

Dari segi politik, sistem masyarakat yang pada asalnya taat dan hidup di bawah pemerintahan raja dan sultan telah berubah sama sekali. Kekuasaan raja dan sultan Melayu telah dikurangkan ke peringkat hanya menjadi lambang kepada negeri atau negara. Sistem pemerintahan yang dianjurkan oleh penjajah terutama oleh British jelas condong dan mirip kepada corak pemerintahan di negara mereka. Bermula dengan pengenalan sistem residen di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan kemudiannya diikuti pula dengan sistem penasihat British di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Pengenalan kepada kedua-dua sistem ini telah mula mengurangkan kuasa pemerintahan raja-raja Melayu dan juga pembesarnya, dan menyebabkan satu perubahan besar kepada corak pentadbiran Melayu Tradisi. Fungsi residen dan penasihat British ini telah mengambil alih peranan yang dahulunya dimainkan oleh pembesar-pembesar Melayu terutamanya dalam soal menasihati Sultan dan mendapatkan hasil untuk negeri melalui cukai.

Selain itu, pada masa pemerintahan Melayu Tradisi segala kerja pentadbiran dijalankan oleh masyarakat Melayu, tetapi setelah kedatangan kaum imigran asing proses pentadbiran telah turut melibatkan mereka. Biarpun jumlah orang Melayu lebih ramai yang terlibat dalam proses pentadbiran, tetapi penglibatan imigran asing dalam proses pentadbiran adalah satu dimensi baru dalam kehidupan masyarakat di Tanah Melayu. Apa yang jelas, sedikit demi sedikit proses penjajahan telah mengubah wajah asal sistem pentadbiran di Tanah Melayu, lebih-lebih lagi apabila sistem pilihanraya diperkenalkan dan kuasa perdana menteri dan kabinet juga pegawai daerah mula mengambil alih segala tugasan pentadbir Melayu Tradisi, iaitu sultan dan pembesar.

 
3.5       KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan bab ini, bolehlah kita membuat beberapa rumusan berkenaan apa yang kita kenali sebagai penjajahan. Di segi istilahnya secara umum dapatlah kita rumuskan bahawa gerakan penjajahan itu sebagai kolonialisme atau imperialisme. Biarpun begitu, apabila dibincangkan secara khusus kedua-dua istilah kolonialisme dan imperialisme pada hakikatnya adalah berlainan dari sudut dasar, perlakuan atau aktiviti penjajahan.

Di sudut kolonialisme ianya jelas dipengaruhi faktor-faktor agama (god), kemegahan (glory), dan keuntungan atau kekayaan (gold). Imperialisme pula jelas memperlihatkan aktiviti-aktiviti yang menggambarkan kesinambungan sifat-sifat kolonialisme seperti kemegahan, kemudiannya dilanjutkan oleh faham nasionalisme yang membawa aktiviti etnosentrisme yang memuliakan kaum sendiri. Dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa gerakan penjajahan terutamanya dari barat yang dilaksanakan British di negara ini adalah merupakan gabungan kedua-kedua dasar yang kita bincangkan itu. Apa yang jelas ditonjolkan oleh kedua-dua dasar tersebut ke atas negara ini ialah bagaimana ianya telah mengubah wajah kehidupan asal yang ada di negara ini meliputi aspek sosial, ekonomi, atau politik. Dasar-dasar kemasukan imigran, pendidikan vernakular, pemecahan ekonomi mengikut kaum, sistem residen dan dasar pemerintahan berpusat telah mengakibatkan cara hidup tradisi yang telah dibincang dalam bab sebelum ini terhimpit dan tidak dihiraukan oleh penjajah British.

Sebuah masyarakat yang tunggal iaitu masyarakat Melayu tradisi yang mengamalkan ekonomi tradisi, sara diri juga sistem pemerintahan bertunjangkan sistem beraja dan pembesar dan telah berjaya mengharungi kehidupan ratusan tahun akhirnya hilang sedikit demi sedikit. Akhirnya satu masyarakat baru muncul iaitu masyarakat majmuk yang terdiri daripada berbilang kaum dan bangsa, satu sistem ekonomi moden yang mementingkan keuntungan dan mengamalkan sistem pentadbiran berpusat yang menggantikan kuasa raja dan pembesar-pembesar. Berdasarkan semua fakta-fakta tersebut, jelas gabungan dasar-dasar kolonialisme dan imperialisme yang diamalkan British dalam gerakan penjajahannya di negara ini akhirnya telah mewujudkan Tanah Melayu sebagai negara baru dengan rakyat dan sistem kehidupan yang baru.


3 comments:

  1. ada nota kaki tapi bukunye mane?

    ReplyDelete
  2. Asa syarikat pinjaman pinjaman bersedia untuk meminjamkan mana-mana jumlah yang anda perlukan untuk memulakan perniagaan peribadi anda. kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%, juga jika anda ingin membeli rumah di atas ansuran bulanan kita juga boleh menjual rumah untuk anda. supaya Sila memohon pinjaman pertanian pertanian. jika anda memerlukan hubungan pinjaman e-mel kami: asaloantransfer@gmail.com, anda juga boleh menghubungi e-mel ini: finance_institute2015@outlook.com, Mungkin ada banyak sebab mengapa anda perlu akses kepada beberapa wang tunai tambahan - daripada yang tidak dijangka pembaikan kereta atau rumah untuk membayar perkahwinan anda atau cuti khas. Tetapi apa sahaja yang anda memerlukannya, apabila anda meminjam antara $ 5,000 USD untuk 100,000 USD di atas.

    pengkhususan Syarikat.
    1) Kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%.
    2) Kami juga boleh membeli sebuah rumah pilihan anda dalam mana-mana lokasi pilihan anda.

    ReplyDelete
  3. boleh tak nota kaki tu disertakan sekali dengan buku ? terima kasih.

    ReplyDelete