Thursday

NOTA JENTERA PENTADIBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN DAN NEGERI DI MALAYSIA


9.1        PENGENALAN

Di antara ciri utama wujudnya sesebuah negara ialah wujudnya kerajaan. Kerajaan adalah penting sebagai pelaksana dasar-dasar yang menetukan takdir sesebuah negara. Berdasarkan kenyataan tersebut Malaysia seperti negara-negara lain di dunia juga mempunyai sistem dan jentera pentadbiran kerajaan sendiri. Ini adalah penting sebagai satu lambang kepada negara Malaysia yang merdeka. Kerajaan yang ada adalah sebagai tanda bahawa negara Malaysia diuruskan oleh rakyat negara ini sendiri. Oleh itu Malaysia sebagai negara moden memang tidak dapat lari daripada memerlukan satu sistem pentadbiran kerajaan yangcekap dan berkesan untuk memelihara keamanan serta melaksanakan usaha-usaha pembangunan sosioekonomi demi kepentingan rakyat.

Bagi memastikan semua ini terlaksana, pentadbir-pentadbir awam adalah merupakan mereka yang memainkan peranan penting dan merupakan jentera utama kepada kelancaran pembangunan negara. Ini kerana merekalah yang bertanggungjawab terhadap perjalanan pentadbiran harian serta terlibat dalam proses pembentukan dan pelaksanaan dasar-dasar awam. Kepentingan mereka ini adalah jelas walaupun apabila kerajaan yang memerintah bertukar hasil dari kehendak rakyat melalui pilihan raya tetapi mereka masih tetap kekal. Dengan lain perkataan, masa depan sesebuah negara amat bergantung kepada jentera yang menggerakkan sistem pentadbiran yang sedia wujud.

Di dalam bab ini para pelajar akan didedahkan tentang jentera pentadbiran kerajaan negara ini secara umum. Perbincangan di dalam bab ini akan melihat tiga peringkat pentadbiran kerajaan di Malaysia, iaitu

(a)           Pentadbiran Peringkat Kerajaan Persekutuan,
(b)          Pentadbiran Peringkat Kerajaan Negeri, dan
(c)           Pentadbiran Peringkat Kerajaan

Setelah itu perbincangan akan disambung dengan meneliti secara umum pentadbiran peringkat negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Pada bahagian akhir pula, kita akan sama-sama pula mengkaji secara ringkas tentang pentadbiran di peringkat Kerajaan Tempatan. Di dalam setiap perbincangan, penulis akan membincangkan menurut susunan kepentingan sebagai contoh Kementerian akan dibincangkan dahulu sebelum berpindah kepada tajuk Jabatan dan seterusnya.

9.2       JENTERA PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN

Sebagaimana yang pelajar sedia maklum berdasarkan pembelajaran pada bab yang sebelumnya. Kuasa Eksekutif merupakan salah satu daripada tiga kuasa kerajaan yang terdapat di negara kita. Perlu diingat menurut Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Kuasa Eksekutif Kerajaan Persekutuan adalah terletak pada Yang Di Pertuan Agong sebagai Kepala Utama Negara. Walau bagaimanapun dari segi pelaksanaan adalah jelas organisasi tertinggi yang menjalankan Kuasa Eksekutif ialah Kabinet atau Jemaah Menteri. Manakala dari segi perjalanan dasar pula, segala dasar dan arahan Kabinet dilaksanakan oleh pegawai-pegawai awam yang berkhidmat dalam organisasi-organisasi kerajaan yang berkaitan. Organisasi-organisasi berkenaan pada kebiasaannya terletak di bawah salah satu bentuk organisasi kerajaan iaitu sama ada:

(a)     organisasi-organisasi yang ditubuhkan di bawah kuasa Perlembagaan Persekutuan Malaysia seperti Majlis Tanah Negara dan Suruhanjaya Pilihan Raya, dan
(b)     organisasi-organisasi yang ditubuhkan di bawah kuasa atau budi bicara kerajaan dan pihak pentadbiran seperti Kementerian, jabatan dan Perbadanan-Perbadanan Awam.

Perkara paling penting untuk memastikan kelancaran keseluruhan jentera pentadbiran ini ialah penyelarasan dalam sesebuah organisasi dan di antara berbagai-bagai organisasi kerajaan. Menerusi penyelarasan ini, sebuah jentera pentadbiran yang cekap dan berkesan dapat direalisasikan.


9.2.1                 Kabinet 

Berdasarkan penjelasan di atas, para pelajar diharap dapat memahami dengan jelas bahawa kabinet merupakan organisasi tertinggi yang menjalankan kuasa eksekutif Kerajaan Persekutuan dan ini dilakukan di atas nama Yang Di Pertuan Agong (YDPA). Secara umumnya, kabinet dibentuk oleh parti yang mempunyai kedudukan majoriti di dalam Dewan Rakyat. Kedudukan majoriti ini seperti yang kebanyakan para pelajar sedia maklum diperoleh daripada satu proses pemilihan oleh rakyat yang kita kenali sebagai pilihan raya yang adil dan bebas. Kabinet atau jemaah menteri ini diketuai oleh seorang ketua yang dikenali sebagai Perdana Menteri. Perdana Menteri dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong daripada salah seorang ahli Dewan Rakyat dan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan tersebut. Di Malaysia adalah menjadi kebiasaan Perdana Menteri dilantik daripada kalangan kumpulan politik atau parti politik yang mendapat kerusi majoriti di Dewan Rakyat. Sebagai Ketua Eksekutif sebenar, Perdana Menteri bertanggungjawab untuk memaklumkan dan menjelaskan kepada Yang Di Pertuan Agong tentang pentadbiran negara.

Di antara tugas-tugas utama Perdana Menteri ialah mempengerusikan kabinet serta mengetuai kerajaan dalam hal-hal berkaitan dasar negara. Secara keseluruhan kabinet dianggotai oleh jemaah kabinet atau menteri yang dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri. Mereka yang dilantik menurut Perlembagaan Persekutuan Malaysia adalah dari kalangan ahli-ahli kedua-dua Majlis Parlimen iaitu Dewan Negara dan Dewan Rakyat. Di Malaysia, barisan kabinet terdiri adripada kalangan ahli-ahli parti politik yang memenangi majoriti kerusi Dewan Rakyat sewaktu pilihan raya umum.

Dari segi tanggungjawab ke atas tugasan mereka, anggota kabinet adalah bertanggungjawab secara kolektif atau bersesama ke atas setiap keputusan dasar yang dibuat oleh kabinet. Lazimnya kabinet bermesyuarat sekali dalam seminggu atau pada tiap-tiap minggu pada setiap bulan dan ini dilakukan pada setiap hari Rabu. Setiausaha kabinet ialah Ketua Setiausaha Negara (KSN).

9.2.2                Organisasi Kerajaan yang Ditubuhkan Atas Budi Bicara

Sebagaimana yang telah disebutkan di atas, selain daripada organisasi-organisasi yang ditubuhkan menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan Malaysia terdapat juga organisasi-organisasi yang dibentuk atas budi bicara kerajaan bagi membantu melicinkan lagi kelancaran pentadbiran.

9.2.2.1  Kementerian

Di antara organisasi yang dimaksudkan ialah kementerian yang merupakan agensi tertinggi dalam struktur pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Kementerian pula boleh kita lihat dengan jelas menerusi pembahagian, iaitu Jabatan Perdana Menteri, dan kementerian-kementeriannya lain.

(a)       Jabatan Perdana Menteri

Jabatan Perdana Menteri merupakan satu kementerian yang amat penting. Ini kerana fungsi utamanya sebagai perancang, perumus dan penyelaras segala dasar negara di samping menentukan kelancaran pelaksanaan dasar-dasar tersebut oleh kementerian-kementerian lain secara cekap dan berkesan. Kepentingan jabatan ini juga jelas terserlah berdasarkan ia diketahui oleh Perdana Menteri sendiri. Perdana Menteri pula dibantu secara langsung oleh Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri utama dan Timbalan-timbalan Menteri yang khusus bagi Jabatan Perdana Menteri.

Ketua pegawai pentadbir atau pegawai pentadbir utama bagi jabatan ini ialah Ketua Setiausaha Negara (KSN) sendiri yang bertugas sebagai penasihat langsung dan pentadbir utama kepada Perdana Menteri. Di abwah pentadbirannya terdapat berbagai unit, bahagian atau jabatan tertentu yang berperanan untuk melicinkan jentera pentadbiran seperti:

(i)          Bahagian Perancangan Ekonomi – Unit Perancangan Ekonomi Negara (EPU)
(ii)        SERU – Sosio-Economy Research Unit  
(iii)      MAMPU – Manpower Administration & Modernisation Planning Unit
(iv)      JAKIM – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

(b)                   Kementerian-Kementerian

Seperti juga Jabatan Perdana Menteri, kementerian-kementerian lain juga adalah penting. Ianya hanya berbeza dari segi pengkhususan kerjanya sahaja. Pengkhususan ini dibuat bagi memastikan tumpuan sepenuhnya dapat diberikan kepada sektor-sektor penting di dalam negara ini. Ia lazimnya diketuai oleh seorang menteri yang bertanggungjawab di dalam melaksanakan bidang kuasa yang disebut Portfolio. Kementerian adalah bertanggungjawab di dalam menggubal dasar, merancang program dan melaksanakannya di bawah arahan polisi seorang menteri.

Struktur organisasi kementerian terdiri daripada ibu pejabat kementerian, jabatan dan perbadanan di bawah kawalannya. Seperti Jabatan Perdana Menteri, Kementerian juga mempunyai pegawai utama bagi mengetuai pentadbiran di setiap kementerian. Pegawai Tadbir Utama di kementerian pada kebiasaannya ialah Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) dan dibantu oleh beberapa orang pegawai kanan terutamanya dari Perkhidmatan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). Menteri yang memegang portfolio pula selalunya dibantu oleh seorang atau kadang kala dua orang Timbalan Menteri dan juga Setiausaha Parlimen. Timbalan Menteri ini dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong daripada kalangan ahli mana-mana Majlis Parlimen, iaitu sama ada Dewan Rakyat atau Dewan Negara setelah mempertimbangkan nasihat Perdana Menteri. Setiausaha Parlimen pula dilantik terus oleh Perdana Menteri daripada orang yang menjadi ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara.

9.2.2.2 Jabatan

Jabatan merupakan agensi pentadbiran kerajaan di bawah tanggungjawab sesebuah kementerian. Para pelajar dapat melihat terdapat satu atau kadang kala banyak jenis jabatan di bawah sesebuah kementerian. Sebagai contoh, hanya ada satu jabatan sahaja di bawah tanggungjawab Kementerkian Pendidikan berbanding dengan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri yang mempunyai Jabatan Imigresen, Jabatan Polis (Polis Diraja Malaysia) dan Jabatan Penjara di bawah tanggungjawabnya. Kebanyakan jabatan ini mempunyai ibu pejabat di peringkat kementerian dan cawangan-cawangan di peringkat negeri.   

Adalah jelas bahawa peranan jabatan adalah untuk melaksanakan perkara-perkara dan dasar-dasar seperti yang ditetapkan oleh kerajaan melalui kementerian masing-masing. Jabatan diwujudkan terutamanya cawangan-cawangan di peringkat negeri adalah bagi membantu mengurangkan beban ibu pejabat kementerian, melancarkan pentadbiran dan juga memudahkan rakyat. Tanggungjawab setiap cawangan adalah untuk melaksanakan tugas-tugas dan kegiatan pejabat yang berkaitan dengan dasar-dasar yang telah dibuat kementerian. Sebagai contoh, tugas cawangan Jabatan Imigresen di setiap negeri ialah untuk menjalankan urusan berkaitan pengeluaran passport dan visa juga pengesahan dan sebatan ke atas sebarang kemasukan ke negara ini.

Sesebuah jabatan mempunyai seorang ketua yang diberi gelarang yang berbeza-beza menurut tugas masing-masing seperti Polis Di Raja Malaysia diketuai oleh Ketua Polis Negara (KPN). Manakala cawangan-cawangan jabatan pula mempunyai ketua masing-masing yang diberi nama sebagai Pengarah Negeri (bagi peringkat negeri) dan pegawai daerah (bagi peringkat daerah).
9.2.2.3 Perbadanan Awam

Selain daripada organisasi-organisasi yang berhubung secara langsung dengan pentadbiran kerajaan atas urusan pentadbiran negara, wujud juga beberapa organisasi yang berhubung dengan pentadbiran kerajaan tetapi tidak secara langsung. Organisasi ini pada kebiasaannya ditubuhkan oleh kerajaan atas tujuan membantu kelancaran pentadbiran kerajaan dengan memberikan sedikit autonomi atas kuasa ke atas beberapa perkara. Organisasi inilah yang kita kenali sebagai Perbadanan Awam dan ia merupakan pertubuhan perbadanan yang diperbadankan oleh kerajaan sama ada melalui undang-undang atau ditubuhka di bawah Akta Syarikat untuk maksud-maksud tertentu. Terdapat dua jenis Perbadanan Awam iaitu

(a)     Badan-badan Berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Parlimen dan Enakmen Dewan Undangan Negeri. Sebagai contoh ialah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).
(b)     Badan-badan yang Tidak Berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat, 1965. taraf badan ini sama seperti sebuah syarikat sektor swasta dan bergerak secara bebas di dalam kegiatan ekonomi. Apa yang berbeza dengan sektor swasta ialah ekuitinya dimiliki sama ada sebahagian atau semuanya oleh kerajaan seperti MAS, PERNAS, BBMB dan MISC.

9.2.3    Organisasi di Bawah Peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia

Kalau para pelajar masih ingat, sebelum ini telah dijelaskan bahawa terdapat organisasi-organisasi kerajaan yang ditubuhkan menerusi peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Dua organisasi penting yang ditubuhkan mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia iaitu Suruhanjaya, dan Majlis. Kedua-dua organisasi adalah bagi membantu memantapkan lagi jentera pentadbiran kerajaan.

(a)                   Suruhanjaya

Terdapat dua jenis suruhanjaya yang tetap dalam Kerajaan Persekutuan iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya, dan Suruhanjaya Perkhidmatan. Kerajaan juga boleh menubuhkan Suruhanjaya Khas yang lazimnya berbentuk sementara untuk mengkaji sesuatu perkara atau masalah dan membuat perakuan-perakuan kepada kerajaan. Justeru itu, Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah memperuntukkan penubuhan tiga suruhanjaya bagi membantu kelancaran jentera pentadbiran kerajaan iaitu

(i)                 Suruhanjaya Pilihan Raya
(ii)               Suruhanjaya Perkhidmatan
(iii)             Suruhanjaya Khas untuk tujuan tertentu (seperti Suruhanjaya siasatan kemalangan keretapi di Gemas)

Suruhanjaya Perkhidmatan pula ditubuhkan untuk memberi layanan yang adil kepada semua anggota perkhidmatan dari segi pelantikan, kenaikan pangkat dan tindakan tatatertib. Terdapat lima Suruhanjaya Perkhidmatan Persekutua yang mengawal taraf dan syarat perkhidmatan yang berlainan iaitu

(i)                 Suruhanjaya Perkhidmatan Awam
(ii)               Suruhanjaya Perkhidmatan Pasukan Polis
(iii)             Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan
(iv)             Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan
(v)               Majlis Angkatan Tentera

Bagi menjamin kebebasan suruhanjaya-suruhanjaya yang ditubuhkan, ahli-ahlinya mestilah dilantik secara khas. Ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya adalah dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong setelah berunding dengan majlis Raja-Raja. Ahli-ahli Suruhanjaya Perkhidmatan pula dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong setelah mempertimbangkan nasihat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. Begitu juga ahli-ahli Suruhanjaya Khas yang ditubuhkan kerana sebab-sebab tertentu adalah dilantik oleh Yang Di Pertuan Agong setelah mempertimbangkan nasihat Perdana Menteri.

(b)                   Majlis-Majlis

Terdapat dua jenis Majlis yang ditubuhkan di dalam system kerajaan persekutuan iaitu

(i)      Majlis yang ditubuhkan di bawah peruntukan Perlembagaan Malaysia.
           
Majlis ini ditubuhkan menurut Perlembagaan Malaysia bagi melicinkan tugas-tugas pentadbiran seperti strategi dan menyelaras sesuatu dasar. Terdapat empat buah majlis yang telah ditubuhkan di bawah peruntukan ini, iaitu Majlis Tanah Negara, Majlis Kewangan Negara, Majlis Kebangsaan bagi Kerajaan Tempatan, dan Majlis Angkatan Tentera.

(ii)     Majlis yang ditubuhkan untuk membantu melicinkan perjalanan jentera pentadbiran kerajaan.

Majlis ini pula pada kebiasaannya ditubuhkan berasaskan kepentingan atau keperluan pentadbiran kerana sesuatu atau kejadian atau perkara penting seperti:

·      Majlis Tindakan Negara – ditubuhkan untuk menyelaras perlaksanaan semua program dan projek pembangunan.

·      Majlis Ekonomi Negara – ditubuhkan untuk bertanggungjawab mengenai semua aspek ekonomi negara seperti jawatankuasa ad-hoc MAPEN yang pernah mewujudkan dasar-dasar seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar Pembangunan Nasional (DPN) ataupun Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang diwujudkan bagi membantu menguruskan dan mencari jalan untuk mengatasi kegawatan ekonomi.

·          Majlis Keselamatan Negara – ditubuhkan untuk bertanggungjawab dalam menyelaraskan kegiatan-kegiatan yang berkaitan dengan keselamatan negara.


9.3       JENTERA PENTADBIRAN KERAJAAN NEGERI

Sebagaimana yang kita bincangkan pada struktur Kerajaan Persekutuan, setiap Kerajaan Negeri di Malaysia juga mempunyai struktur bagi jentera pentadbiran masing-masing. Lazimnya struktur bagi jentera pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia adalah lebih kurang sama. Walau bagaimanapun terdapat juga perbezaan biarpun ia berbeza hanya sedikit terutama di negeri-negeri di Sabah dan Sarawak. Dalam bahagian ini kita akan meneliti dan membincangkan secara umum bagi mengenali jentera pentadbiran kerajaan-kerajaan negeri serta menyentuh sedikit tentang penyelarasan pentadbiran di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.

9.3.1     Majlis Mesyuarat Kerajaan

Sebagaimana yang para pelajar sedia fahami di peringkat persekutuan, Kuasa Eksekutif adalah pada Yang Di Pertuan Agong. Oleh tiu di setiap Kerajaan Negeri pula adalah jelas Kuasa Eksekutif terletak pada Raja atau Sultan atau Yang Di Pertua Negeri mengikut perlembagaan negeri masing-masing. Di Semenanjung Malaysia, Kuasa Eksekutif ini pada kebiasaannya adalah dijalankan atau dilaksanakan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) atas nama raja atau Sultan atau Yang Di Pertua Negeri bagi negeri masing-masing. Manakala pelaksanaan Kuasa Eksekutif di Sarawak dijalankan oleh badan yang sama seperti Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Semenanjung yang digelar Majlis Tertinggi. Di Sabah pula badan yang sama taraf disebut sebagai kabinet. Kalau para pelajar telah faham proses di peringkat persekutuan, adalah mudah bagi anda memahami kedudukan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang menyerupai kabinet di peringkat Persekutuan. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri adalah merupakan organisasi pembentukan dasara yang tertinggi bagi peringkat pentadbiran negeri. Seperti Yang Di Pertuan Agong dan Kabinet Persekutuan, dalam kebanyakan perkara, Raja atau Sultan atau Yang Di Pertua Negeri harus bertindak atas nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Majlis Mesyuarat Kerajaan ini pada kebiasaannya diketuai oleh seorang yang digelar sebagai Menteri Besar bagi negeri-negeri yang diperintah oleh Raja arau Sultan. Manakala gelaran Ketua Menteri digunakan bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai pemerintahan beraja. Menteri Besar merupakan ketua eksekutif di peringkat kerajaan negeri seperti mana Perdana Menteri di peringkat pentadbiran Persekutuan.

Lazimnya, Menteri Besar atau Ketua Menteri ini dilantik oleh Raja atau Sulltan atau Yang Di Pertua Negeri daripada orang yang menjadi ahli Dewan Undangan Negeri dan mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan tersebut. Amalan di negnegeri-negeri di Malaysia adalah jelas menunjukkan Menteri Besar atau Ketua Menteri adalah dilantik dari kalangan peminmpin golongan politikatau parti politik yang menguasai majority kerusi Dewan Undangan Negeri hasil daripada satu proses pemilihan atau pilihan raya yang dijalankan secara adil dan bebas. Dalam pada itu, pemimpin parti politik itu juga mestilah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandinginya. Dengan lain perkataan, pemimpin parti politik tersebut tidak dapat dilantik menjadi Menteri Besar atau Ketua Menteri andainya beliau sendiri tidak memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandinginya walaupun beliau adalah tokoh yang paling layak dan popular. Bagi membantu Menteri Besar atau Ketua Menteri, Raja atau Sultan atau Yang Di Pertua Negeri mestilah atas nasihat Menteri Besar atau Ketua Menteri melantik tidak lebih daripada lapan atau kurang daripada empat orang ahli lain dari kalangan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri. Kumpulan ahli Dewan Undangan Negeri yang dilantik inilah kemudiannya Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri adalah kolektif atau bersesama bertanggungjawab kepada Dewan Undangan Negeri. Di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ini terkandung juga tiga ahli pegawai (ex-officio) iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang. Sebagaimana Ketua Setiausaha Negara dan peranannya di kabinet, Setiausaha Kerajaan Negeri pula adalah Setiausaha kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

9.3.2    Jabatan

Jabatan ditubuhkan di dalam pentadbiran negeri adalah bagi membantu memantapkan lagi kelancaran pentadbiran. Berdasarkan keperluan-keperluan pentadbiran itulah, maka terdapat dua jenis jabatan di peringkat negeri, iaitu jabatan negeri, dan cawangan jabatan persekutuan. Jabatan-jabatan negeri itu sendiri dibahagikan kepada jabatan negeri yang bertanggungjawab kepada Kerajaan Negeri, dan jabatan negeri yang bertanggungjawab kepada kedua-dua Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

9.3.2.1  Jabatan Negeri

Wujudnya jabatan negeri ini adalah penting berasaskan hubungannya yang secara langsung dengan pentadbiran utama kerajaan negeri. Ini boleh para pelajar lihat berdasarkan peranan setiap jabatan tersebut. Di antara jabatan negeri yang paling penting ialah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Pejabat Kewangan Negeri, Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri, dan Unit Perancang Ekonomi Negeri.



(a)     Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri

Para pelajar tentu masih ingat fungsi Jabatan Perdana Menteri di peringkat Persekutuan. Fungsi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri ini sama seperti Jabatan Perdana Menteri yang merupakan jabatan negeri yang utama dan merupakan nadi pentadbiran di peringkat negeri. Ia diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri yang merupakan pegawai pentadbir utama dan penasihat pentadbir utama kepada Menteri Besar atau Ketua Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan. Jabatan yang sama taraf di Sarawak juga dikenali sebagai Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri manakala di negeri Sabah ia lebih dikenali sebagai Jabatan Ketua Menteri. Fungsi umum Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri ini adalah jelas menggambarkan kepentingannya kerana ia adalah pusat untuk merancang dan menyelaras dasar negeri di samping menentukan pelaksanaan dasar-dasar tersebut oleh agensi-agensi kerajaan negeri yang lain termasuk pejabat-pejabat daerah.

(b)    Pejabat Kewangan Negeri

Pejabat Kewangan Negeri pula secara umumnya merancang dan melaksanakan dasar-dasar kewangan dan belanjawan kerajaan negeri bagi memastikan kelancaran pembangunan ekonomi negeri yang pesat. Antara lain fungsi Pejabat Kewangan Negeri ialah mengusahakan cara-cara untuk mencari dan mendapatkan sumber kewangan wang untuk kegunaan Kerajaan Negeri. Ini pada kelazimannya dilakukan menerusi pelaksanaan berbagai-bagai cukai serta pemerolehan melalui pinjaman-pinjaman. Pejabat kemudian akan mengagihkan sumber-sumber kewangan kepada agensi-agensi kerajaan melalui belanjawan tahunan.

(c)     Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri

Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri pula bertanggungjawab untuk memberikan nasihat mengenai berbagai-bagai perkara berkaitan dengan undang-undang kepada Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan.

(d)    Unit Perancang Ekonomi Negeri

Unit Perancang Ekonomi Negeri bertanggungjawab merancang dan menyelaras usaha-usaha pembangunan ekonomi negeri agar semuanya berjalan lancar. Di antara fungsi utama unit ini ialah menyelaraskan penyediaan rancangan-rancangan pembangunan negeri lima tahun. Begitu juga dalam menyelia dan memerhati pelaksanaan berbagai-bagai projek pembangunan serta tidak ketinggalan dalam memberi khidmat nasihat kepada kerajaan negeri atas masalah-masalah ekonomi negeri yang umum.
9.3.2.2 Jabatan Negeri dan Persekutuan

Selain daripada jabatan-jabatan yang berkait langsung kepada pengurusan pentadbiran negeri, terdapat juga jabatan-jabatan yang mempunyai tanggungjawab kepada kedua-dua Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Di antara jabatan-jabatan yang mempunyai tanggungjawab kepada kedua-dua pengurusan pentadbiran kerajaan negeri dan persekutuan ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat, dan Jabatan Parit dan Taliair. Jabatan-jabatan sedemikian bertanggungjawab bagi perkara-perkara yang termasuk dalam senarai bersama.

9.3.2.3 Jabatan Persekutuan di Negeri-Negeri

Cawangan Jabatan Persekutua diwujudkan di peringkat negeri bertujuan untuk memudahkan dan melancarkan lagi proses pentadbiran selain memberi kemudahan kepada rakyat. Di antara beberapa Cawangan Jabatan Persekutuan di negeri ialah seperti Jabatan Imigresen Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri. Cawangan-cawangan tersebut adalah tanggungjawab secara langsung kepada Kerajaan Persekutuan. Walau bagaimanapun cawangan-cawangan ini tertakluk kepada usaha-usaha penyelarasan oleh Kerajaan Negeri.

9.3.2.4   Pejabat Setiausaha Persekutuan dan Pejabat Kewangan Persekutuan

Seperti yang telah dinyatakan sejak awal lagi, wujud beberapa perbezaan pentadbiran di Sabah dan Sarawak. Ini tidaklah menghairankan kerana negeri-negeri tersebut sememangnya mempunyai beberapa keistimewaan dalam beberapa segi yang berkaitan dengan kuasa kerajaan negeri. Ini adalah jelas berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang telah dipersetujui sewaktu penubuhan Persekutuan Malaysia pada 1963. Walau bagaimanapun atas tujuan-tujuan penyelarasan dan melicinkan lagi pentadbiran kerajaan persekutuan dan negeri, maka ditubuhkan Pejabat Setiausaha Persekutuan dan Pejabat Kewangan Persekutuan.

Fungsi dan tugas utama Pejabat Setiausaha Persekutuan ialah menyelaras aktiviti-aktiviti jabatan-jabatan dan perbadanan-perbadanan awam persekutuan di negeri, menguruskan hal-hal perkhidmatan pegawai-pegawai awam persekutuan dan menjaga kepentingan kerajaan persekutuan termasuk kepentingan harta benda. Selain itu, pejabat ini juga bertanggungjawab dalam memastikan perhubungan yang erat di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan-Kerajaan Negeri berkenaan. Bagi tujuan tersebut pejabat berkenaan diketuai oleh seorang Setiausaha Persekutuan.
Manakala Pejabat Kewangan Persekutuan pula adalah bertanggungjawab kepada Kementerian Kewangan Persekutuan dalam menjalankan tugas-tugas kewangan seperti pemeriksaan anggaran belanjawan agensi-agensi persekutuan di Sabah dan Sarawak. Tujuan penubuhannya ialah untuk mempercepatkan proses membuat keputusan tanpa perlu merujuk kepada pihak berkuasa di Kuala Lumpur.

9.3.3    Suruhanjaya

Sekarang cuba anda imbas kembali perbincangan di awal bab ini. Anda tentu sudah sedia maklum akan kewujudan beberapa suruhanjaya di bawah Kerajaan Persekutuan. Sebagaimana Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-Kerajaan Negeri juga boleh menubuhkan suruhanjaya-suruhanjaya berbentuk tetap atau khas. Pelantikan ahli-ahli suruhanjaya dilakukan oleh Raja atau Sultan atau yang Di Pertua Negeri. Ini dilakukan atas nasihat Menteri Besar atau ketua Menteri. Contoh suruhanjaya tetap yang ada di negeri-negeri ialah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri dan suruhanjaya ini wujud hampir di kesemua negeri di Malaysia.Walau bagaimanapun ada juga negeri seperti Melaka yang tidak mempunyai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri. Bagi negeri yang tidak mempunyai Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri ini, pelantikan ke jawatan-jawatan negeri dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Persekutuan.

9.3.4    Perbadanan Awam

Kerajaan Negeri juga mempunyai perbadanan-perbadanan awam yang merangkumi badan-badan tidak berkanun (syarikat kepunyaan kerajaan). Contoh badan-badan berkanun yang terdapat di setiap negeri ialah Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) atau Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Manakala contoh bagi badan-badan tidak berkanun negeri pula ialah seperti Amanah Saham Darul Iman (ASDI) atau Amanah Saham Johor (ASJ) dan Labuan Wood Products Sdn. Bhd.  Dari segi perhubungan antara perbadanan-perbadanan awam tersebut dengan agensi-agensi kerajaan negeri ia adalah lebih kurang sama dengan apa yang terdapat antara perbadanan-perbadanan awam persekutuan dengan agensi-agensi utama kerajaan persekutuan.

9.3.5    Pentadbiran Negeri di Semenanjung Malaysia

Selain pentadbiran negeri di peringkat negeri yang telah kita bincangkan, terdapat juga tiga peringkat pentadbiran negeri yang menjadi sebahagian daripada penggerak jentera pentadbiran kerajaan negeri secara keseluruhan. Di Semenanjung Malaysia, kita dapat lihat tiga peringkat yang wujud iaitu daerah, mukim, dan kampung.
(a)     Daerah 

Sebagaimana pentadbiran negeri yang lain pentadbiran di peringkat daerah atau Pentadbiran Daerah adalah amat penting. Ini memandangkan kebanyakan projek kerajaan dilaksanakan di peringkat tersebut. Pejabat pentadbiran yang utama di kebanyakan negeri di Semenanjung di peringkat daerah ialah Pejabat Daerah. Manakala di Kelantan pejabat pentadbiran daerah ini lebih dikenali sebagai Pejabat Jajahan. Di setengah-setengah negeri, pejabat pentadbiran daerah ini di pecah kepada dua bahagian, iaitu Pejabat Daerah yang menguruskan hal-ehwal keperluan dalam daerah tersebut melainkan hal-ehwal tanah, dan Pejabat Tanah yang menguruskan hanya soal pentadbiran sahaja. Secara umum, peranan pejabat daerah ialah menyelaras usaha-usaha pembangunan daerah dengan kerjasama cawangan agensi-agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan di peringkat tersebut. Pegawai pentadbir utama yang merancang dan menyelaras aktiviti-aktiviti pembangunan daerah di peringkat daerah ialah Pegawai Daerah. Menurut susunan pentadbiran kerajaan negeri beliau adalah secara langsung bertanggungjawab kepada Setiausaha Kerajaan Negeri.

(b)       Mukim

Mukim adalah merupakan sebahagian daerah atau dengan lain perkataan sesuatu daerah itu terbahagi kepada beberapa mukim. Di Kelantan kawasan yang sama taraf seperti mukim di negeri-negeri lain di Semenanjung dikenali sebagai daerah. Mukim ini pada kebiasaannya diketuai oleh seorang penjawat awam yang dikenali sebagai Penghulu ataupun dikenali sebagai Penggawa di negeri Kelantan. Di setiap mukim atau daerah di Kelantan terdapat Pejabat Penghulu atau Pejabat Penggawa bagi memudahkan lagi urusan pentadbiran antara rakyat dan kerajaan. Peranan utama Penghulu ialah membantu pejabat daerah dan agensi-agensi kerajaan melaksanakan projek-projek pembangunan serta menyelaraskan kegiatan-kegiatan sosioekonomi di kampung-kampung yang berada di bawah jagaannya.

(c)                   Kampung

Kampung merupakan pentadbiran negeri yang paling rendah. Ketua pentadbir di peringkat kampung ialah Ketua Kampung (Penghulu di Kelantan) yang dilantik oleh kerajaan Negeri. Peranan utama Ketua Kampung ialah membantu agensi-agensi kerajaan (termasuk pejabat daerah) melaksanakan projek-projek pembangunan. Sebagai contoh Ketua Kampung membantu agensi-agensi kerajaan mendapatkan tapak yang sesuai bagi sesuatu projek di kampungnya. Ketua Kampung juga merupakan penghubung antara kerajaan dengan rakyat. Beliau menjalankan tugas-tugas melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dipengerusikan olehnya. Ketua-ketua jabatan di peringkat daerah dijemput hadir ke mesyuarat jawatankuasa tersebut. Pembentukan JKKK bertujuan untuk memberi peluang kepada penduduk kampung mengambil bahagian dalam proses perancangan dan pelaksanaan projek-projek pembangunan.

9.3.6                Pentadbiran Peringkat Negeri di Sabah

Terdapat dua peringkat pentadbiran di negeri Sabah iaitu daerah, dan kampung. Ketua pentadbir di peringkat daerah ialah Pegawai Daerah. Beliau dibantu oleh penolong-penolong pegawai daerah dan seorang Ketua Daerah yang bertanggungjawab bagi pentadbiran yang berkaitan hal-ehwal suku kaum di daerah berkenaan. Setiap suku kaum diketuai oleh Ketua Anak Negeri (dikenali juga sebagai Ketua Bumiputera) yang bertanggungjawab kepada Ketua Daerah. Ketua-Ketua Anak Negeri adalah merupakan personel awam manakala Ketua Kampung yang mengetuai kampung bukan sebahagian daripada personel awam.

9.3.7                Pentadbiran Peringkat Negeri di Sarawak

Pentadbiran negeri Sarawak pula boleh dibahagikan kepada empat peringkat iaitu bahagian, daerah, daerah kecil, dan kampung. Terdapat sembilan Bahagian di negeri Sarawak dan tiap-tiap satu diketuai oleh Residen. Sesuatu Bahagian dibahagikan kepada daerah-daerah yang diketuai oleh Pegawai Daerah. Setiap suku kaum diketuai oleh Ketua Masyarakat yang bergelar Pemanca. Beliau bertanggungjawab kepada Pegawai Daerah. Sesebuah daerah pula dipecahkan kepada daerah-daerah kecil yang diketuai oleh Pegawai-Pegawai Perkhidmatan tadbir Sarawak. Ketua pentadbir di peringkat kampung ialah Penghulu.

9.3.8             Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri

Satu ciri utama Persekutuan menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia ialah Pembahagian Kuasa yang jelas dan bertulis dengan kerajaan negeri. Pembahagian Kuasa terkandung di dalam peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan iaitu pada Jadual Kesembilan yang mengagihkan kuasa kepada tiga senarai:

(i)      Senarai Persekutuan – menyenaraikan bidang kuasa kerajaan persekutuan di mana kerajaan persekutuan sahaja mempunyai kuasa ke atasnya. Ia mengandungi 27 bidang kuasa antaranya ialah hubungan luar, pertahanan dan kewangan.
(ii)     Senarai Negeri – menyenaraikan bidang kuasa yang diperuntukkan kepada negeri di mana kerajaan negeri sahaja mempunyai kuasa ke atasnya. Ia mengandungi 12 bidang kuasa antaranya ialah kanun tanah, perhutanan dan pertanian juga pengurusan air. 
(iii)    Senarai Bersama – menyenaraikan bidang kuasa bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Di dalam bidang perkara di bawah senarai ini, kedua-dua kerajaan mempunyai kuasa ke atasnya. Ia mengandungi 18 bidang kuasa antaranya ialah kebajikan masyarakat, biasiswa, perancangan bandar dan perlindungan binatang liar. 

9.4       KESIMPULAN

Daripada perbincangan dan penelitian kita secara umum di atas, dapatlah kita rumuskan bahawa jentera pentadbiran kerajaan sama ada di peringkat persekutuan mahupun negeri adalah nyawa kepada pentadbiran di dalam negara kita yang merdeka ini. Ia menjadi teramat penting bukan sahaja kerana tujuannya yang utama sebagai alat untuk memastikan kelancaran dan kemantapan pentadbiran di negara ini tetapi juga sebagai alat yang menghubungkan antara rakyat dan kerajaan. Ini adalah jelas selari dengan apa yang dinyatakan oleh ahli falsafah ulung yang juga seorang ahli undang-undang iaitu John Locke tentang kerajaan dan rakyat. Menurut beliau, kerajaan diwujudkan atas kehendak dan aspirasi rakyat, maka untuk itu adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan keselesaan dan keselamatan rakyat adalah terjamin. Oleh kerana itu sekiranya rakyat tidak mendapat hak-hak mereka adalah menjadi satu hak kepada rakyat untuk mengubah kerajaan yang sedia ada. Di atas pandangan itulah maka ketua pelaksana kuasa eksekutif adalah dilantik menerusi proses pemilihan oleh rakyat atau pilihan raya. Ini dapat memastikan suara rakyat diwakili dalam pentadbiran negara ini. Bagi memastikan kelancaran pula telah jelas buat kita, akan peranan pentadbir-pentadbir awam yang bukan dari kalangan mereka yang dipilih melalui proses politik. Cara ini dapat menjamin kesinambungan kelancaran jentera pentadbiran negara ini biarpun kerajaan telah bertukar. Atau dalam erti kata lain para pentadbir awam akan tetap kekal biarpun kerajaan yang sedia ada akan digantikan oleh kumpulan politik yang lain yang berjaya menewaskan kerajaan sedia ada dalam satu pilihan raya yang adil dan bebas. Bentuk jentera pentadbir sedemikian, yang menggabungkan peranan kumpulan politik dan pentadbir awam yang khusus adalah senjata untuk menjamin kesejahteraan negara dari diancam oleh ketidaklancaran proses pentadbiran akibat daripada pertukaran kerajaan. Kelancaran proses pentadbiran ini lebih terserlah dengan susunan organisasi-organisasi kerajaan yang akhirnya menjuruskan kepada kepentingan rakyat. Hasilnya, semua ini mewujudkan jentera pentadbiran kerajaan yang mantap dan akhirnya menjadikan negara ini lebih teguh dan kuat dalam mewujudkan masa depan yang lebih cemerlang.


2 comments:

  1. politik malaysia kotor

    ReplyDelete
  2. puan, terdapat kesilapan atau maklumat lama yang tidak dikemaskinikan..sebagai contohnya nama penuh MAMPU dan tiada lagi Bahagian dinamakan SERU dalam JPM

    ReplyDelete