BAB 3
3.1 PENGENALAN
Dalam bab ini kita
akan membincangkan aspek-aspek yang berkaitan dengan gerakan penjajahan yang
berlaku di negara Malaysia. Sebagaimana yang anda sedia maklum, penjajahan oleh
kuasa-kuasa asing ke atas Tanah Melayu telah berlaku sejak ratusan tahun yang
lalu. Penjajahan kuasa asing dari Eropah telah bermula pada tahun 1511 apabila
Portugis menghancurkan keagungan Empayar Melayu Melaka. Kemudian diikuti oleh
kedatangan kuasa Belanda, Inggeris dan Jepun. Penguasaan kuasa-kuasa asing
terutamanya dari Eropah, secara khusus dan umumnya telah meninggalkan kesan
kepada corak kehidupan masyarakat atau penduduk asal di negara ini.
Dasar-dasar yang
dilaksanakan oleh kuasa asing terutamanya British benar-benar telah mengubah
corak kehidupan di Tanah Melayu apabila kita bandingkan dengan kehidupan
tradisi masyarakat Melayu seperti yang telah dibincangkan dalam Bab 2: Masyarakat Melayu Tradisi. Di samping itu juga, dasar-dasar yang
dilaksanakan telah memberi kesan kepada struktur pentadbiran yang sedia wujud
dalam masyarakat. Segala perubahan ini berlaku didorong oleh matlamat, usaha,
dan juga ketamakan serta kerakusan pihak penjajah yang ingin menguasai hasil
mahsul dan keuntungan di negara ini.
Beberapa perkara akan dibincangkan dalam bab
ini, antaranya mengenai gerakan penjajahan di negara Malaysia. Perbincangan ini
akan terbahagi kepada tiga bahagian utama, setiap bahagian akan mengandungi
beberapa topik kecil bagi membantu pemahaman bagi setiap bahagian.
Dalam bahagian pertama, kita akan membincangkan
pengertian penjajahan. Justeru itu, saya menumpukan kepada perbincangan
mengenai definisi bagi istilah-istilah yang berkaitan dengan penjajahan, iaitu
kolonialisme dan imperialisme.
Dalam bahagian yang kedua pula, kita akan meneruskan
perbincangan mengenai perkembangan kedua-dua dasar penjajahan, iaitu
kolonialisme dan imperialisme—faktor-faktor penggalak kepada kewujudan dasar-dasar
penjajahan kolonialisme dan imperialisme.
Seterusnya, dalam bahagian ketiga, kita akan
membincangkan berkenaan gerakan penjajahan barat di Tanah Melayu—sejarah awal
dan sebab-sebab kedatangan penjajah barat, dasar campur tangan British,
dasar-dasar yang dilaksanakan oleh British, dan dampak penjajahan.
Hasil daripada perbincangan yang dibuat kelak diharap
dapat memberikan gambaran kepada pelajar berkenaan dasar penjajahan yang kita
kenali sebagai kolonialisme dan imperialisme. Seharusnya generasi sekarang dan
akan datang dapat menjadikan peristiwa-peristiwa yang berlaku semasa negara di
bawah pengaruh penjajahan barat sebagai satu pengajaran yang benar-benar
bermanfaat.
3.2
PENGENALAN
KEPADA GERAKAN PENJAJAHAN
Sebelum kita pergi lebih jauh, adalah wajar untuk kita
bersama-sama membincangkan definisi bagi istilah-istilah yang berkait rapat
dengan apa yang kita kenali sebagai gerakan penjajahan. Kolonialisme atau
kadangkala kita sebut juga sebagai imperialisme merupakan dua perkataan yang
sering disinonimkan dengan gerakan penjajahan ini. Jika di lihat secara umum,
kedua-dua perkataan atau istilah ini seolah-olah menggambarkan makna yang sama.
Bagaimanapun pada hakikatnya, ianya hanyalah hampir sama pada makna kerana amat
berkait rapat.
3.2.1 Definisi
Apakah yang tergambar dalam fikiran anda apabila kita
memperkatakan tentang istilah kolonialisme dan imperialisme? Tidak dapat tidak
saya nafikan, bahawa perkataan pertama yang pasti terlintas difikiran anda
ialah perkataan penjajahan. Cheah Boon Kheang dan Abu Talib bersetuju bahawa
tidak salah untuk kita menanggap kedua-dua istilah sebagai sama kerana
kedua-dua istilah ini sering digunakan saling bertukar ganti.1 Walau
bagaimanapun, kedua-dua istilah mewakili makna dan maksud yang berbeza dan
tersendiri, biarpun ianya mempunyai kaitan yang amat rapat. Kaitan yang
dimaksudkan ialah bagaimana konsep bagi satu istilah iaitu imperialisme, pada
hakikatnya mungkin adalah lanjutan atau mempunyai kesinambungan dengan istilah
kolonialisme ataupun sebaliknya.
Bagi memudahkan pemahaman anda, saya bawakan beberapa
definisi yang diberikan oleh kalangan sarjana sebagai panduan untuk memahami
dan mengenali istilah-istilah tersebut.
1. Kolonialisme
Secara umum, dapatlah kita jelaskan bahawa kolonialisme
bermaksud dasar sesebuah negara yang mengeksploitasi sesuatu kawasan serta
masyarakatnya yang dianggap lemah. Pengeksploitasian itu meliputi berbagai
sudut seperti ekonomi, sosial, budaya, corak pentadbiran, serta politik atau
secara ringkasnya meliputi kesemua cara hidup masyarakat tersebut.2
Plano dan Olton di dalam tulisannya mentafsirkan
kolonialisme sebagai satu bentuk pemerintahan ke atas sesebuah kawasan dan
penduduknya oleh sebuah kuasa asing dengan menjalankan polisi imperialisme.
Migrasi turut terlibat (dari negara asal ke kawasan baru) yang seterusnya
membentuk satu entiti politik baru ke
atas kaum asal yang mempunyai pengetahuan dan teknologi (kemajuan) yang rendah
seperti di Asia dan Afrika.3
Tafsiran Plano dan Olton jelas dipersetujui Evans dan
Newham yang menggambarkan sifat dasar kolonialisme yang memberi ruang rakyat
asing yang minoriti mendominasikan politik dan ekonomi negara tersebut. Ia
memisahkan pusat kota metropolitan bagi mengukuhkan kekuasaan dan menindas
golongan bawahan. 4
Tidak hairanlah Nadel dan Curtis beranggapan kolonialisme
sebagai satu penindasan, penghinaan atau eksploitasi terhadap penduduk peribumi
oleh penjajah di tanah jajahan. Berasaskan pandangan Nadel dan Curtis, jelas
dapat kita lihat dasar utama tindakan kolonialisme adalah lebih menjurus kepada
bentuk penjajahan yang buruk terutama di sudut penindasan, penghinaan dan
pengeksploitasian. Penjajah datang hanya untuk mengeksploitasi pelbagai sudut
kehidupan masyarakat peribumi seperti dalam bidang ekonomi, sosial, politik, petempatan
dan sebagainya.5
2. Imperialisme
Imperialisme secara umum membawa pengertian perluasan
kekuasaan atau pengaruh suatu bangsa terhadap bangsa lain. Manakala, Kamus
Dewan Bahasa dan Pustaka secara ringkas mentakrifkan imperialisme sebagai dasar
meluaskan sesebuah empayar dengan menjajah negara lain.6
Negara-negara besar atau kuasa-kuasa besar telah wujud sejak awal sejarah
manusia lagi seperti di Mesir, Mesopotamia, Assyria, dan Persia. Imperialisme
kuno mencapai kemuncak di zaman Rumawi dan Byzantium (Rumawi Timur).
Manakala falsafah imperialisme hari ini lebih menjurus
kepada definisi moden yang wujud hasil daripada kebangkitan faham nasionalisme
moden. Konsep imperialisme yang diterima ramai pada hari ini adalah merupakan
kesan letusan kebangkitan gerakan merkantilisme yang juga merupakan
kesinambungan sifat kolonialisme dan asas kepada kapitalisme moden. Karl Marx
menyatakan imperialisme sebagai satu tingkatan dalam perkembangan kapitalisme
sewaktu perluasan kuasa Eropah ke Asia dan Afrika di sekitar tahun 1750an –
1914.7
Nadel dan Curtis pula mentakrifkan imperialisme sebagai
satu perkembangan kuasa atau kawalan, sama ada secara langsung atau tidak dalam
politik atau ekonomi oleh sesuatu kerajaan, bangsa, atau masyarakat ke atas
bangsa atau masyarakat yang lain. Proses ini di dokong oleh idea tersendiri.8
Secara umumnya, definisi-definisi yang diberikan di atas
seakan-akan mempunyai persamaan makna dengan istilah kolonialisme. Namun
begitu, terdapat perbezaan di mana konsep imperialisme dibentuk di negara asal
kuasa penjajah dan kemudiannya dikembangkan ke negara jajahan. Ini disokong
oleh penjelasan Fieldhouse yang mendefinisikan imperialisme sebagai satu
kecenderungan sesuatu masyarakat atau pemerintahan untuk mengawal masyarakat
lain dalam pelbagai tujuan.9
3.3 PERKEMBANGAN
GERAKAN PENJAJAHAN
Dalam bahagian yang lalu, saya telah sebutkan
bahawa persamaan dasar-dasar kolonialisme dan imperialisme adalah dari segi
matlamat, iaitu untuk gerakan penjajahan, tetapi adalah baik juga untuk anda
memahami faktor-faktor penggalak untuk kedua-dua dasar ini bagi mendapatkan
gambaran yang lebih jelas. Kedatangan kuasa Eropah ke benua sebelah timur
adalah bermatlamatkan penjajahan, tetapi adakah hanya hendak mengaut segala
keuntungan sahaja tanpa peduli tentang tanah jajahan tersebut atau sebaliknya?
Ciri-ciri yang dilahirkan oleh perlakuan penjajah akan menggambarkan wajah atau
rupa setiap dasar yang akan kita bincangkan ini.
3.3.1 Faktor-Faktor Penggalak Kolonialisme
Para sarjana melihat tindakan-tindakan
penjajahan kolonialisme berpunca daripada beberapa faktor. Kebanyakan mereka
bersetuju faktor-faktor kedatangan kuasa Eropah ke benua Asia adalah untuk
memenuhi inspirasi konsep kolonialisme yang dipengaruhi slogan "Gold, Glory and God". Perry
Marvin telah menjelaskan teori
kebangkitan kuasa Eropah sebagai kolonialis atau penjajah sebagaimana berikut:
1.
Gold
(Keperluan kepada tanah)
Hasil kemajuan ilmu pengetahuan di Eropah,
lebih-lebih lagi kesan daripada pengaruh tamadun Islam dan Asia telah
mempercepatkan perkembangan masyarakat Eropah. Pada masa yang sama juga, sistem
pertanian telah berkembang maju, begitu juga dengan sistem kesihatan dan
perubatan yang bertambah baik. Faktor kemajuan ini telah menggalakkan lagi
jumlah kelahiran dan mengurangkan jumlah kematian, dan telah menambah bilangan
penduduk. Akibatnya, wujud masalah iaitu kekurangan pada tanah-tanah untuk
didiami dan dikerjakan.10
Sementara itu, golongan bangsawan yang banyak
menguasai tanah-tanah, mula melihat pilihan yang lain bagi menambahkan hasil
kekayaan mereka. Mereka mula melihat penerokaan tanah yang baru di luar negara
khususnya di Asia dan Afrika sebagai cara terbaik memenuhi ketamakan mereka.
Tidak dapat dinafikan, Asia dan Afrika merupakan kawasan yang kaya dengan
sumber ekonomi seperti rempah dan juga galian seperti emas.
Selain itu, Asia juga merupakan pusat tumpuan
persinggahan pedagang (seperti di Melaka) antara China dan India. Kesan
daripada penambahan hasil keuntungan melalui perdagangan secara langsung
membuat para bangsawan ini tamak dan tidak lagi mahu berurus niaga dengan orang
tengah. Bagi mereka, adalah lebih baik terus keluar membuat urus niaga secara
langsung dengan pihak pemilik sumber asal terutamanya para pedagang Arab dan
Asia yang lain.
2.
Glory
(Permusuhan tradisi di antara negara-negara Eropah)
Penggabungan kuasa Ferdinand The Castille dan Isabella
The Aragon di Sepanyol dan perlaksanaan konsep pemusatan kuasa dalam
pemerintahan telah berjaya menjatuhkan kerajaan Granada di Andalusia, iaitu
kerajaan Islam terakhir di benua Eropah. Faktor ini telah menggalakkan lagi
kerajaan Sepanyol yang baru itu untuk meluaskan lagi tanah jajahan mereka.
Mereka merasa megah dengan kejayaan penggabungan dan kemakmuran yang dirasai di
dalam negeri.
Walau bagaimanapun, Sepanyol kemudiannya
merasa bimbang dan iri hati melihat negara jiran mereka, Portugal yang menjadi
lebih berjaya daripada mereka menerusi aktiviti penerokaan dunia baru seperti
kejayaan Vasco Da Gama, Putera Henry dan Bartholomiew Diaz. Kejayaan Portugal
ini dirasakan sebagai satu usaha mendapatkan kelebihan sekaligus menjadi satu
ancaman kepada Sepanyol.11
Justeru itu, adalah menjadi keperluan
Sepanyol untuk mendahului Portugal dalam persaingan mendapatkan tanah jajahan
yang baru. Sepanyol ingin menunjukkan bukti kekuatan dan pengaruh mereka
sebagai satu kuasa besar, ditambah lagi selepas kejayaan menghancurkan kerajaan
Islam terakhir di bumi Sepanyol.
Persaingan yang asalnya adalah untuk memenuhi
keperluan hidup dan kekayaan telah bertukar menjadi satu persaingan memburu
kemegahan. Kerakusan memburu kemegahan ini kemudiannya disertai pula oleh
negara-negara Eropah lain yang turut tidak mahu ketinggalan meletakkan nama
mereka sebagai kuasa besar seperti Belanda, Jerman, Perancis dan Britain.
3.
God (Agama)
Satu faktor utama yang membantu perkembangan
penguasaan kuasa Eropah terhadap kawasan-kawasan di sebelah benua Asia dan
Afrika ialah agama. Usaha terhadap pengembangan agama diperkukuhkan oleh
legenda dan mitos akan wujudnya kerajaan Kristian di Timur yang diketuai oleh
seorang "Messiah" atau
"The Great Saviour" atau
seorang ‘penyelamat’ bernama Prester
John.
Pihak gereja yang mewakili pihak berkuasa
agama di negara-negara Eropah yang berlumba-lumba menuju ke benua sebelah
timur, percaya akan wujudnya sebuah kerajaan Kristian di situ. Mereka percaya
dan yakin apabila ditemui kelak, kerajaan Kristian di benua sebelah timur ini
akan dapat bergabung dengan negara-negara Kristian di Eropah untuk mengalahkan
kuasa Islam yang pada ketika itu menguasai kebanyakan kawasan di Eropah, Asia
dan Afrika.12
Perasaan sebegini dapat difahami kuat melekat
di hati para peneroka seperti Putera Henry dan juga mereka yang berasal dari
kawasan Semenanjung Liberia atau Sepanyol dan Portugal. Selama 500 tahun mereka
berjuang untuk mengalahkan dan menjatuhkan Islam sehinggalah musnahnya kerajaan
Islam Granada. Perasaan kuat menyokong unsur keagamaan ini amat berkait rapat
dengan sistem juga norma-norma kehidupan masyarakat Eropah yang pada ketika itu
kuat diikat oleh pengaruh penguasaan gereja terutamanya di Sepanyol dan
Portugal.
3.3.2 Faktor-Faktor
Penggalak Imperialisme
Biarpun wujud seakan persamaan dari segi
konteks gerakan penjajahan di antara kolonialisme dan imperialisme, namun
imperialisme pada hakikatnya mempunyai faktor-faktor tersendiri yang menjadi
asas dorongan kepada kebangkitannya. Dasar-dasar imperialisme adalah lebih di
dorong oleh perkembangan semasa di Eropah yang sibuk memperjuangkan faham
nasionalisme dan negara bangsa (nation
states). Di antara faktor-faktor penggalak yang digariskan oleh ramai
sarjana ialah:
1. Etnosentrisme
Hasil perkembangan
nasionalisme moden yang hebat di kebanyakan negara Eropah pada tahun-tahun
1750an hingga 1914, konsep kemegahan melalui penjajahan berbentuk kolonialisme
telah berubah corak menjadi lebih agresif dengan memandang kemegahan dan
ketinggian bangsa masing-masing. Walaupun tidak dinafikan idea bangsa terpilih
atau ummatan mukhtarah telah lama
diwujudkan oleh kaum bani Israel tetapi dalam tempoh yang tersebut, pemikiran
sebegini telah semakin bertambah subur.
Penjajahan dilakukan
bagi memuaskan hati megah mereka dan dilakukan dengan anggapan mereka tidak
melakukan sebarang kesalahan. Ini dilakukan pada asalnya sebagai sumber
kemegahan dengan menjadikan benua Asia sebagai sasaran uatam diikuti dengan
benua Amerika dan Afrika. Senario ini kemudiannya telah bertambah agresif
apabila mereka mula memandang hina bangsa lain di dalam benua mereka sendiri
dan pada kemuncaknya berlakulah Perang Dunia Pertama.13
2. Jingoisme
Kesan secara langsung
akibat daripada etnosentrisme ini ialah pemupukan semangat patriotisme melampau
yang timbul di kalangan kuasa-kuasa Eropah. Akibatnya, perasaan benci yang
tinggi timbul di antara kaum dan bangsa yang hidup di Eropah pada ketika itu
dan mengakibatkan mereka mula meluaskan percakaran mereka keluar negara dan
menjadikan negara-negara yang lemah di Asia, Amerika dan Afrika sebagai sasaran
menunjukkan keegoan juga bahan penindasan bagi menunjukkan kuasa mereka.14
3. Agama
Agama turut memainkan peranan penting dalam
mempengaruhi pemikiran manusia di Eropah yang mengakibatkan berlakunya
imperialisme. Misi agama Kristian yang membawa tugas suci menyelamatkan umat
manusia daripada penindasan dan ketidakadilan terutama di negara-negara mundur seperti
di Asia dan Afrika telah mewujudkan fahaman "the
white men burden" atau "tugas suci orang kulit putih". Fahaman ini memberi maksud bangsa
selain orang kulit putih atau Kristian adalah lebih merupakan beban yang
ditakdirkan Tuhan kepada mereka (orang kulit putih) untuk di uruskan. Ini telah
membawa mereka ke tanah-tanah baru yang diteroka oleh negara mereka. Ditambah
pula dengan perasaan megah dan bangga diri yang sedia wujud hasil perkembangan
nasionalisme moden, maka kuasa-kuasa Eropah ini lebih agresif melaksanakan
aktiviti imperialisme di atas nama untuk menyelamatkan bangsa lain yang mundur.15
4. Keinginan Mencapai Kuasa Besar
Kemegahan dan kegilaan yang dihasilkan daripada semangat
nasionalisme yang tebal telah menggalakkan kepada wujudnya keinginan menjadi
kuasa besar yang menguasai semua manusia di muka bumi ini. Jerman merupakan
contoh terbaik bagaimana perasaan nasionalisme yang dipupuk oleh Bismarck pada
tahun-tahun 1800an telah mengakibatkan dunia terheret ke dalam kancah Perang
Dunia Pertama. Ini berlaku kerana ketamakan untuk menguasai seluruh Eropah.16
Berdasarkan kepada perbincangan yang di atas, saya
berharap anda dapat memahami dengan lebih jelas bagaimana kedua-dua istilah
atau dasar yang tersebut di atas berbeza di sudut pengertian khusus biarpun
secara umumnya membawa maksud penjajahan.
Pada permulaan perbincangan ini, kita telah membincangkan
definisi dan faktor-faktor penggalak kepada wujudnya gerakan penjajahan sama
ada kolonialisme ataupun imperialisme. Jelas ditunjukkan dalam perbincangan
kita, bahawa kolonialisme adalah merupakan satu dasar penjajahan di mana
penaklukan dibuat ke atas sesuatu tempat baru untuk mendapatkan hasil
mahsulnya. Hasil ketamakan mereka, kaum imigran telah dibawa masuk dan kumpulan
minoriti orang asing ini kemudiannya secara perlahan-lahan menguasai negara
yang terjajah tersebut. Justeru itu, dalam konteks kolonialisme dasar
penjajahan dibuat atas dasar kepentingan pihak penjajah di segi pendapatan dan
menggunakan kaum imigran sebagai batu loncatan untuk mempunyai kuasa di tanah
jajahan mereka.
Imperialisme pula, bolehlah di katakan sebagai satu
kesinambungan atau lanjutan daripada sifat konsep kolonialisme tetapi lebih
keras. Ini kerana penjajahan dilakukan oleh sesuatu bangsa terhadap masyarakat
lain. Penguasaan ini melibatkan proses perkembangan kuasa dan kawalan melalui
idea dan pemikiran mereka sendiri terhadap sistem politik dan ekonomi bagi
meluaskan kuasa sesuatu empayar. Dasar ini lebih cenderung untuk menyebarkan
idea kebendaan dan kemegahan dari barat, iaitu dengan menonjolkan sifat
keunggulan sesuatu bangsa.
Justeru itu, penaklukan di buat bukan sahaja
kerana hasil mahsul yang hendak diperoleh di negara tersebut tetapi juga
penguasaan terhadap rakyat dan pemerintahan di negara tersebut. Ini dilakukan
lebih-lebih lagi berdasarkan kemunculan faham imperialisme ini yang berkait
rapat dengan peranan mendapatkan kebanggaan menerusi perluasan kuasa dan
pengiktirafan sebagai bangsa terulung dan terunggul di dunia. Pentadbiran
biasanya bercorak pemusatan di mana dasar-dasar yang hendak dilaksanakan di
negara yang dijajah akan di rujuk dan dibuat di ibu negara yang terlibat
seperti London atau Paris.17
3.4 GERAKAN PENJAJAHAN BARAT DI TANAH MELAYU
Sejarah perkembangan gerakan penjajahan di
negara ini telah wujud sejak awal lagi— dilakukan oleh kerajaan atau empayar
besar yang terdiri dari negara-negara jiran seperti Srivijaya, Majapahit,
Pasai, dan Siam. Bagaimanapun, negara atau empayar yang menawan kawasan-kawasan
di Tanah Melayu pada waktu itu tidaklah memberi kesan yang jelas terhadap
penguasaan mereka berbanding dengan kuasa barat yang datang kemudian.
1.4.1 Kedatangan Penjajah Barat
Adakah anda tahu, negara barat manakah yang
mula-mula sekali meluaskan kuasa mereka di Tanah Melayu? Portugis yang membuka
lembaran baru penerokaan memulakan proses penjajahan barat di Tanah Melayu pada
tahun 1509 apabila mereka datang untuk berdagang. Ketamakan dan rasa iri hati
yang wujud secara berleluasa di kalangan orang-orang Melayu akhirnya
mengakibatkan penaklukan Empayar Melayu Melaka oleh kuasa Portugis pada tahun
1511. Sejarah kemudiannya mencatatkan jatuhnya kuasa Portugis di Melaka ke
tangan Belanda pada tahun 1641. Penguasaan Belanda ini berterusan sebelum
British mengambil alih Melaka setelah perjanjian Straits Settlement
ditandatangani pada tahun 1824.
Pada
pendapat anda, mengapakah Tanah Melayu amat menarik perhatian kolonialis
barat?
|
Persoalan di atas
sering ditimbulkan kerana sejarah telah membuktikan bahawa Tanah Melayu
sememangnya menarik perhatian penjajah sama ada dari Timur atau Barat. Sarjana
telah menggariskan beberapa faktor yang menyebabkan Tanah Melayu menjadi tumpuan
tarikan, iaitu:
1. Kedudukan
Geografi Tanah Melayu
Kedudukan Tanah Melayu yang merupakan sebuah
semenanjung dan betul-betul terletak di antara jalan perdagangan di antara
benua sebelah timur dan benua sebelah barat amatlah strategik sebagai sebuah
pusat perdagangan. Kawasannya yang meliputi hampir keseluruhan Selat Melaka dan
dilindungi pula oleh Pulau Sumatera memberikan satu ruang atau jalan laut yang
selamat dan terlindung dari taufan, ribut dan gelora lautan. Keadaan ini
memudahkan para pelaut dan pedagang untuk berlabuh dan berlindung pada waktu
perjalanan mereka apabila diserang angin monsun sama ada timur laut atau pun
barat daya. Ciri-ciri geografi ini menjadi faktor penarik kepada sebarang kuasa
besar yang memerlukan keselamatan untuk jalan perdagangan dan perlindungan bagi
keselamatan dari ancaman semula jadi ataupun yang dilakukan manusia.
2. Bahan
Mentah
Tanah Melayu yang kaya dengan pelbagai bahan
mentah seperti bijih timah telah menjadi sasaran kuasa-kuasa besar menjajahnya
dan menguasai sepenuhnya sumber ekonomi di Tanah Melayu. Tanah Melayu telah
terkenal dengan gelaran Golden
Chersoneves ataupun Suvarnabhumi
yang menggambarkan hasil buminya seperti emas dan timah yang banyak. Manakala,
Tanah Melayu juga sering digunakan sebagai pelabuhan entrepot yang mengumpulkan
hasil-hasil hutan terutamanya untuk para pedagang sejak awal kewujudan tamadun
di tanah semenanjung ini. Bahan-bahan seperti kayu manis, buah pala, rotan,
sagu dan lain-lain diperlukan oleh para pedagang selain bekalan air dan makanan
untuk bekalan perjalanan mereka. Selepas kedatangan kuasa barat dan penemuan
bijih timah secara meluas, Tanah Melayu menjadi bertambah penting bagi
kuasa-kuasa penjajah ini.
3. Pasaran
Baru
Sementara itu, di Eropah pada abad ke-14 dan
15 sedang rancak dengan projek penjelajahan dan penemuan (Exploration and Discoveries). Revolusi perindustrian telah
menyebabkan kuasa-kuasa besar di Eropah keluar dari benua Eropah dan mencari
penempatan dan pasaran baru bagi perdagangan mereka. Kedudukan Tanah Melayu di
tengah jalan perdagangan menjadi tarikan kepada kuasa-kuasa Eropah untuk
menjadikan Tanah Melayu sebagai salah sebuah pusat pasaran dan perdagangan
mereka. Pasaran di Eropah menjadi sukar akibat semua kuasa besar mula mencipta
dan mengeluarkan bahan baru. Ini mewujudkan persaingan sengit untuk mendapatkan
lokasi dan pasaran baru pengeluaran masing-masing. Selain itu, keperluan
terhadap bahan mentah yang berkaitan dengan industri seperti bijih timah dan
besi juga meningkat dengan mendadak.
4. Pangkalan
Tentera
Anda telah sedia maklum kedudukan Tanah
Melayu di Selat Melaka yang merupakan jalan perdagangan penting di Asia. Faktor
kedudukan ini juga sebenarnya amat penting kepada kesesuaiannya menjadi
pangkalan tentera. Kalau di lihat sejarah awal kedatangan kuasa penjajah barat
ke Tanah Melayu, mereka datang bukan sahaja untuk mencari sebuah pelabuhan
persinggahan tetapi juga adalah kerana strategi ketenteraan. Ini boleh anda
fahami jika anda bayangkan kedudukan negara mereka yang jauh di Eropah dan
kawasan-kawasan yang mereka lawati untuk tujuan perdagangan atau mendapatkan
kekayaan adalah jauh di benua Asia. Di dalam konteks ini, perkara utama yang
difikirkan oleh kuasa-kuasa besar ini tentulah keselamatan angkatan atau
rombongan mereka.
Oleh itu, satu cara terbaik yang perlu mereka
lakukan ialah mencari sebuah tempat yang dapat menjadi pelabuhan persinggahan
dan sekaligus memenuhi keperluan-keperluan keselamatan dan ketenteraan. Contoh
terbaik yang boleh anda lihat ialah kedatangan Kapten Francis Light ke Pulau
Pinang yang dipajak oleh British dari Kerajaan Kedah sebagai pelabuhan
persinggahan, dan juga sebagai pangkalan tentera untuk mengawal ancaman
pelanunan serta kuasa asing yang lain seperti Belanda, Perancis, dan Jerman
dari menggugat kapal-kapal perdagangan mereka yang menggunakan laluan di Selat
Melaka. Pulau Pinang kemudiannya kalau anda lihat telah menjadi antara tempat
terawal dalam senario perluasan kuasa British di Tanah Melayu.
5. Prester
John
Akhirnya, mungkin anda masih ingat apa telah
saya jelaskan pada bahagian awal bab berkenaan kepentingan agama dalam
menggalakkan aktiviti penjajahan. Sebagaimana yang anda maklum, pada waktu itu
orang-orang Kristian di Eropah sedang rancak menentang penguasaan empayar
Islam. Pihak gereja telah menjanjikan kedatangan seorang Messiah atau The Great Saviour atau penyelamat agung. Di
antara versi yang timbul dari janji pihak gereja itu ialah kehadiran seorang
yang bernama Prester John yang akan muncul di benua sebelah timur. Kepercayaan
ini telah menyebabkan orang-orang Kristian seperti Putera Henry dari Portugal
telah melancarkan gerakan mencari Prester John di sebelah timur dengan harapan
gabungan kerajaan Kristian sebelah timur dan kerajaan Kristian mereka dapat
menjatuhkan empayar Islam secara keseluruhannya.18
1.4.2 Dasar Campur Tangan British di Tanah
Melayu
Anda kini tentu telah memahami
sedikit-sebanyak bahawa dasar awal pihak
penjajah barat termasuk British adalah jelas, iaitu mereka datang hanya untuk
mengaut hasil keuntungan di Tanah Melayu tanpa peduli dan campur tangan dalam
hal ehwal urusan orang Melayu dan negeri-negeri Melayu. Hanya pada tahun 1874
secara rasmi British mula campur tangan dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu.
Ini dilakukan setelah termeterainya Perjanjian Pangkor, di Perak pada tahun
1874. Bermula daripada perjanjian tersebut, pihak British bukan sahaja
mengekalkan kuasanya, malahan terus meluaskan pengaruh mereka di negeri-negeri
Melayu yang lain sehinggalah kemerdekaan dicapai pada tahun 1957. Sesungguhnya
perjanjian 1874 itu merupakan titik permulaan kepada satu perubahan besar di
Tanah Melayu. Berdasarkan perkara-perkara yang telah kita bincangkan sebelum
ini, dapatkah anda bayangkan apakah sebab-sebab yang memungkinkan campur tangan
tersebut?.
Pada hakikatnya, dasar campur tangan British
ini dilakukan berdasarkan beberapa faktor yang banyak dipengaruhi oleh keadaan
di Tanah Melayu pada masa itu. Di antara faktor-faktor yang digariskan ialah
1. Faktor Ekonomi
Sememangnya sebagaimana yang anda ketahui,
ekonomi adalah faktor paling penting mengapa British campur tangan di Tanah
Melayu. Ini banyak dikaitkan dengan perkembangan revolusi perusahaan atau
perindustrian yang berlaku di Eropah. Perusahaan yang membabitkan keperluan
bahan mentah seperti bijih timah sedang berkembang pesat dan ini memaksa
British memberi perhatian yang lebih terhadap Tanah Melayu yang kaya dengan
bijih timah, ditambah pula dengan sektor perlombongan bijih timah yang
kebanyakannya dikuasai oleh saudagar-saudagar British dan Cina yang
berkerakyatan British.19
Selain itu, sekatan-sekatan perdagangan yang
dilakukan oleh Belanda terhadap pengaruh kuasa lain di Indonesia turut menyekat
kemaraan British di kawasan lain di rantau ini. Ini menyebabkan mereka terus
menumpukan perhatian kepada Tanah Melayu bagi mendapatkan hasil yang
diperlukan.
2. Faktor
Ancaman dan Persaingan Pengaruh Asing
Akibat revolusi industri dan keperluan kepada
bijih timah, maka Tanah Melayu menjadi harta paling berharga buat British.
Walau bagaimanapun, pada masa yang sama kuasa-kuasa lain turut berminat dan
mengintai peluang untuk melibatkan diri dalam pergolakan politik yang ada.
Keadaan ini disedari British lebih-lebih lagi apabila mereka menyedari penguasaan penuh Belanda di
Indonesia dan Sepanyol di Filipina.
Selain itu, British turut menyedari kepentingan Tanah Melayu sebagai
jalan perdagangan dunia, di mana Selat Melaka menjadi penghubung di antara
kawasan timur dan barat.
Tidak dapat dinafikan persaingan imperialisme
di kalangan negara-negara besar, terutamanya dari Eropah untuk membuka tanah
jajahan juga membuat British memikirkan keperluan lebih awal campur tangan di
Tanah Melayu sebelum kuasa penjajah yang lain berbuat terlebih dahulu.
3. Pergolakan
Politik di Tanah Melayu
Di sekitar tahun 1860an hingga 1880, suasana
di Tanah Melayu terutamanya di negeri-negeri pantai barat berada dalam keadaan
huru hara akibat pergolakan politik yang melibatkan perebutan takhta dan perang
saudara. Suasana bertambah buruk apabila setiap pergolakan melibatkan kawasan-kawasan
perlombongan dan membabitkan buruh imigran Cina yang dibawa masuk oleh British.
Kebimbangan British dapat dijangka kerana kepentingan British dalam sektor
perlombongan bijih timah adalah besar dan dibimbangi akan terjejas dengan
teruk.20
Perlombongan tidak dapat dijalankan kerana
penglibatan buruh-buruh Cina yang menganggotai kumpulan kongsi-kongsi gelap
Ghee Hin dan Hai San dalam pergolakan politik. Peralatan perlombongan musnah
akibat pergaduhan dan peperangan. Suasana tidak tenteram tidak memungkinkan
pekerjaan di lombong dapat dibuat kerana ketakutan akibat peperangan. Situasi
ini mendatangkan kerugian dan dibimbangi akan memusnahkan industri perlombongan
bijih timah. Selain itu, pergolakan yang berlaku akan merebak dari satu kawasan
ke kawasan atau negeri yang lain, sebagai contoh perang saudara di Larut Perak
dibimbangi akan merebak ke Pulau Pinang yang juga mempunyai ramai imigran Cina.21
4. Perubahan
Pucuk Pimpinan di Britain
Parti Konservatif yang diketuai oleh Disraeli
telah memenangi pilihan raya di Britain pada tahun 1873. Mereka telah mengambil
alih kuasa dari Parti Liberal yang memerintah. Di antara dasar baru yang di
ambil oleh Parti Konservatif selepas memenangi pilihan raya ialah dengan
mengubah dasar Pejabat Tanah Jajahan untuk masuk campur tangan dalam urusan
pentadbiran negeri-negeri di Tanah Melayu. Tindakan ini mengakhiri dasar Parti
Liberal yang tidak berminat untuk campur tangan kerana berpegangkan matlamat
dasar penjajahan kolonialisme untuk mengaut keuntungan sahaja tanpa mengambil
sebarang risiko untuk bertanggungjawab terhadap apa-apa yang terjadi di negeri
yang mereka jajahi.22
Perubahan ini di lihat jelas dipengaruhi oleh
perkembangan semasa pada masa tersebut, di mana bentuk penjajahan berbentuk
imperialisme yang ditunjangi oleh kemegahan nasionalisme dan jingoisme. Bagi
memastikan Britain tidak ketinggalan dari segi pengiktirafan antarabangsa
sebagai satu kuasa empayar yang kuat, kerajaan Konservatif di bawah Disraeli
bersedia menanggung sebarang risiko dan tanggungjawab untuk campur tangan dan
menguruskan tanah jajahan yang ada. Mereka bersedia mengaut sebanyak-banyak
keuntungan dari negeri-negeri yang dijajah dan bersedia memikul beban
tanggungjawab dan mengatasi sebarang masalah sewaktu proses mendapatkan keuntungan
tersebut.
1.4.3 Dasar-Dasar Penjajahan British di
Tanah Melayu
Sewaktu tempoh penjajahan, British telah
membuat dan melaksanakan pelbagai dasar yang meliputi aspek sosial, ekonomi,
dan politik. Dalam melaksanakan dasar-dasar penjajahan, secara langsung ataupun
tidak langsung telah mengubah wajah asal Tanah Melayu. Justeru itu, pada
bahagian ini saya akan membincangkan dasar-dasar yang dilaksanakan British
sehingga mengubah sistem kehidupan masyarakat Melayu yang sedia ada.
Hakikatnya, semua dasar yang dilaksanakan oleh British
adalah berasaskan dasar ‘pecah dan perintah’. Walau bagaimanapun, berbeza
dengan negara-negara lain, dasar pecah dan perintah yang dilakukan oleh British
di Tanah Melayu bukan melalui paksaan. Ia dilakukan secara berhati-hati dan
perlahan-lahan seolah-olah ianya berlaku secara semula jadi. Oleh kerana
dasar-dasar yang dilaksanakan British di Tanah Melayu terlalu banyak, saya
hanya menumpukan kepada beberapa dasar penting yang mempunyai kesan yang besar
dan meliputi faktor-faktor penting kepada proses perubahan di Tanah Melayu
seperti dasar pelajaran, ekonomi, dan pentadbiran. Pembahagian ini dibuat bagi
memudahkan para pelajar untuk menghubungkaitkan dasar-dasar yang ada dengan
dampak proses penjajahan yang dibuat berasaskan dasar utama tersebut.
Sebelum perbincangan
ini pergi lebih jauh, apa yang harus anda ingati ialah, perbincangan ini akan
hanya meliputi beberapa dasar British yang penting sahaja, dan tidak meliputi
semua dasar British yang telah dilaksanakan oleh mereka sepanjang tempoh
penjajahan. Selain itu, saya harap anda semua mengimbas kembali ingatan anda
kepada apa yang telah anda pelajari dalam bab yang lepas berkenaan Masyarakat
Melayu Tradisi (MMT). Ini adalah perlu untuk membantu anda membuat perbandingan
dan juga membantu memberi gambaran yang lebih jelas kepada apa yang akan kita
bincangkan dalam topik ini dan topik berikutnya iaitu dasar-dasar penjajahan
dan dampak-dampaknya dari segi sosial, ekonomi, dan politik.
1. Sosial
Dasar paling utama yang telah dilaksanakan oleh British
ialah kemasukan imigran asing dari China dan India ke Tanah Melayu. Mereka yang
didatangkan sebagai buruh-buruh di lombong dan ladang telah dibawa masuk tanpa
had. Ini dilakukan oleh British bagi memenuhi matlamat penjajahan mereka yang
ingin mengaut sebanyak-banyak keuntungan dari Tanah Melayu tanpa memperdulikan
keadaan masyarakat Melayu pada masa tersebut. Jumlah migrasi yang ada pada
suatu ketika telah hampir mengatasi jumlah penduduk asal negara ini.
Kemasukan buruh-buruh asing yang dibawa khusus kerana
tujuan melombong dan menoreh getah kemudiannya telah membentuk masyarakat baru
dalam negara ini. Mereka juga telah diletakkan di kawasan-kawasan yang terpisah
daripada kaum-kaum lain. Interaksi sememangnya tidak berlaku kerana masing-masing
bergerak dalam kawasan yang berkaitan dengan kegiatan ekonomi masing-masing.
Ini adalah penting bagi British yang berusaha menghalang kewujudan perpaduan
antara kaum. British amat menyedari jika perpaduan antara kaum dapat
dilaksanakan, boleh menyukarkan pentadbiran mereka. Ini jelas merupakan
gambaran pada tonggak dasar kolonialisme British sendiri iaitu dasar pecah dan
perintah.
Di samping itu, antara dasar lain yang harus
di beri perhatian ialah dasar pendidikan British. Dasar ini perlu ditekankan
kerana pendidikan akan membentuk keadaan sosial masyarakat. Sistem pendidikan
British pada umumnya dilaksanakan berdasar sistem vernakular yang mana
pendidikan dibuat berdasarkan kaum masing-masing. Ini bermaksud sistem
pendidikan tersebut adalah bergantung sepenuhnya kepada bahasa dan sukatan
pelajaran kaum masing-masing.
Justeru itu,
wujud banyak sekolah yang berasaskan kaum, iaitu Sekolah Cina, Sekolah
Tamil, Sekolah British dan Sekolah Melayu. Sekolah-sekolah Cina dan Tamil
menggunakan bahasa masing-masing sebagai bahasa pengantar dan sukatan pelajaran
yang diambil terus daripada negara asal mereka. Sementara Sekolah British pula
banyak dijalankan oleh mubaligh Kristian dan berasaskan pendidikan British yang
diambil daripada negara Britain sepenuhnya. Manakala sekolah Melayu pula masih
berasaskan pelajaran agama dan bercampur sedikit dengan pendidikan akademik
yang mempunyai pengaruh British.
Dasar ini secara umumnya ialah untuk memenuhi
matlamat dasar penjajahan British yang cuba memastikan taraf pendidikan di
sekolah-sekolah sedia ada tidak akan seragam dan sekaligus memastikan taraf
pendidikan yang diterima oleh rakyat terutamanya orang-orang Melayu adalah di
tahap yang rendah. Ini bagi memastikan masyarakat Melayu terus ketinggalan dan
memudahkan British memberi alasan bahawa Tanah Melayu belum mampu untuk bebas
dan mentadbir negara bersendirian.23
Bagi memenuhi tujuan tersebut, ukuran rendah
atau tinggi taraf pendidikan orang Melayu sering di sukat bersama taraf
pendidikan di negara Britain. Walaupun pada hakikatnya masyarakat Melayu adalah
rajin berasaskan pekerjaan dalam sistem ekonomi tradisi tetapi British sering
menanamkan kata-kata bahawa masyarakat Melayu adalah malas dan mudah berpuas
hati. Sedangkan pada masa yang sama, adalah jelas orang Melayu tidak diberi
kesempatan mendapat pendidikan yang terbaik.24
Keadaan menjadi semakin parah lagi apabila
British membawa imigran-imigran asing terutamanya dari India untuk bekerja
sebagai pendidik di Tanah Melayu. Secara umumnya, jelas memberi gambaran bahawa
taraf pendidikan di Tanah Melayu terutamanya kepada masyarakat Melayu akan
terus kekal tidak dapat melebihi taraf pendidikan Inggeris yang sebenar kerana
mereka hanya dididik oleh pendidik dari negara yang terjajah juga. Situasi di
atas jelas menonjolkan ketidakikhlasan British dalam memajukan pendidikan
orang-orang yang mereka jajahi.
2. Ekonomi
Dari aspek ekonomi, jelas menunjukkan
penjajahan British telah mengubah hala tuju ekonomi tradisi di Tanah Melayu
yang pada asalnya berasaskan ekonomi sara diri kepada bentuk ekonomi moden yang
lebih bersifat komersial atau perdagangan dan keuntungan. Bolehkah anda
memahami tujuan British tersebut? Ini boleh di lihat dari sudut kehendak dasar
kolonialisme yang telah kita bincangkan pada awal bab ini.
Perkembangan ekonomi moden bermula dengan
kewujudan hasil bijih timah di Perak yang menghasilkan Perjanjian Pangkor 1874.
Apa yang menarik, perlaksanaan ekonomi moden ini dilakukan oleh British secara
berhati-hati bagi memastikan tujuan asal dasar kolonialisme British untuk
mengenepikan masyarakat Melayu daripada sebarang kemajuan akan tercapai. Ini
perlu kerana masyarakat Melayu yang maju di lihat sebagai ancaman kepada
pentadbiran penjajahan.
Justeru itu, orang-orang Melayu di sisih
dengan tidak diajak atau digalakkan sama sekali untuk terlibat dalam sektor
perlombongan ini. Mereka yang dapat melibatkan diri hanyalah golongan pembesar
yang mempunyai pengaruh ke atas sesuatu kawasan. Ini dilakukan oleh British dengan
menghebohkan propaganda mereka yang kononnya menghormati sistem ekonomi tradisi
masyarakat Melayu yang lebih tertumpu kepada penanaman padi, penangkapan ikan
dan penternakan selain mencari hasil hutan.25
Sebaliknya bagi memastikan sektor
perlombongan ini terlaksana dengan lebih pesat, pihak British telah membawa
buruh-buruh asing dari negara China. British mengambil peluang mendapatkan
buruh-buruh yang murah dari negara China yang sedang menghadapi pelbagai
masalah bencana alam seperti gempa bumi, banjir, dan kebuluran. Begitu jugalah apabila
sektor perladangan getah meningkat dengan pesatnya di Tanah Melayu, pihak
British terus mengenepikan orang-orang Melayu dengan membawa masuk secara besar
besaran buruh-buruh dari India.
Semua ini dilakukan
oleh pihak British dengan matlamat supaya masyarakat Melayu terus kekal dengan
aktiviti-aktiviti ekonomi yang tidak menguntungkan, dan pada masa yang sama
pihak British dapat juga mempergunakan orang-orang Melayu bagi menghasilkan
barang keperluan makanan kepada British dan buruh-buruh asing yang di bawa
masuk. Ini dilakukan dengan menggalakkan penanaman padi oleh orang Melayu yang
sekaligus membantu menyediakan makanan untuk penduduk di Tanah Melayu yang
semakin bertambah dengan kemasukan buruh asing yang tiada batasan.
Walau bagaimanapun,
apabila segalanya telah diperolehi, konsep kolonialisme awal telah bertukar
menjadi lebih agresif hasil daripada sikap tamak untuk menguasai segala-galanya
di Tanah Melayu. Konsep imperialisme yang lebih campurtangan dan menguasai
segalanya di tanah jajahan dilaksanakan. Ini berdasarkan keperluan semasa di
mana negara Eropah yang lain turut berlumba bukan sekadar mendapatkan hasil
tetapi menguasai negara dan rakyat di sesuatu tanah jajahan sebagai lambang
pengaruh dan kemegahan.
1. Politik
Dari segi politik, dasar penjajahan British
cuba memastikan raja-raja Melayu atau sultan-sultan akan berada di bawah
telunjuk mereka. Ini dilakukan British atas kesedaran bahawa pengaruh raja dan
sultan ke atas rakyat jelata. Mereka bimbang seandainya raja dan sultan tidak
di bawah kawalan mereka, akan berlaku kekecohan yang akhirnya mendorong raja
dan sultan bersama rakyat menentang penguasaan mereka ke atas tanah Melayu.
Anda boleh lihat dengan jelas apabila sistem residen British mula perkenalkan
di Perak, dan bagaimana Raja Abdullah yang merupakan salah seorang waris raja
yang berkuasa di negeri Perak bersama pembesar dan rakyat bangkit membunuh
Residen J.W.W. Birch yang dilantik kerana tidak berpuas hati.
Berasaskan kesedaran inilah, apabila British
memulakan campur tangan mereka selepas Perjanjian Pangkor 1874, mereka telah
memperkenalkan sistem residen. Sistem residen yang merupakan sistem penasihatan
oleh British dalam urusan pentadbiran negeri Melayu telah dilaksanakan di
negeri-negeri yang dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Bersekutu—Perak,
Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Di dalam sistem ini, nasihat residen
dalam hal-hal selain agama Islam dan
adat istiadat orang Melayu haruslah diikuti raja-raja.26
Walau bagaimanapun, sebenarnya langkah campur
tangan dan penasihatan ke atas negeri Melayu telah lebih awal di buat di
negeri-negeri Melaka, Pulau Pinang dan Singapura yang dikenali sebagai
Negeri-Negeri Selat. Di negeri-negeri ini, British memerintah secara terus dari
Pejabat Tanah Jajahan di London. Hanya dalam konteks negeri-negeri Selat,
British berkuasa penuh terhadap negeri-negeri tersebut kerana sama ada ianya
dijajah atau dipajak sepenuhnya dan ianya di tadbir oleh seorang gabenor bagi
negeri-negeri Selat.
Langkah penasihatan
yang terakhir ialah sistem Penasihat Negeri di negeri-negeri Melayu yang lain
iaitu Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, dan Johor—dikenali sebagai
Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. Di dalam negeri-negeri ini, Penasihat
British akan membantu pentadbiran raja-raja dan sultan-sultan Melayu melainkan
dalam hal-hal agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.
Sistem pentadbiran kemudiannya telah berubah
terus mengikut arus pemodenan yang di bawa penjajah dan lebih mirip kepada
suasana pemerintahan di negara asal mereka. Apabila semua negeri-negeri Melayu
telah dapat dikuasai British menerusi sistem Residen dan Penasihat, kemudiannya
telah mewujudkan persekutuan atau sistem kerajaan berpusat. Bermula dengan
cadangan Malayan Union dan kemudiannya digantikan dengan Persekutuan Tanah
Melayu diikuti pula sistem kabinet dan menteri diperkenalkan. Selepas
pilihanraya 1952 dan 1955 sistem kerajaan berketua Menteri dan kabinet untuk
pentadbiran telah dilaksanakan. Menerusi peringkat yang telah anda lihat,
secara sedikit demi sedikit raja-raja disisihkan dari rakyat dan tanggungjawab
pemerintahan.
3.4.4 Kesan Gerakan Penjajahan Barat di Tanah
Melayu
Tanah Melayu akhirnya telah mencapai
kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Setelah lebih kurang 400 tahun di bawah
cengkaman penjajah barat, Tanah Melayu akhirnya bebas dan merdeka. Biarpun
telah mencapai kemerdekaan, Tanah Melayu pada hakikatnya tidak dapat lari
daripada kenyataan bahawa Tanah Melayu yang ada setelah merdeka dan Tanah
Melayu yang wujud sebelum era penjajahan kuasa barat adalah dua suasana yang
amat berbeza. Kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kepada negara ini bukanlah
sedikit dan meliputi pelbagai sudut kehidupan termasuk ekonomi, politik dan
sosial masyarakat di Tanah Melayu. Hasil penerapan dasar-dasar kolonialisme dan
imperialisme barat yang dijalankan, corak pemerintahan, kegiatan ekonomi juga
cara bersosial masyarakat di Tanah Melayu telah jauh berbeza. Hasil daripada
itu dapatlah kita lihat dan gariskan tiga kesan utama yang wujud dalam
masyarakat di Tanah Melayu dari segi sosial, ekonomi, dan politik.
1. Sosial
Perubahan terbesar hasil dasar sosial British
ialah kewujudan masyarakat berbilang kaum di Tanah Melayu. Masyarakat ini yang
juga kita kenali sebagai masyarakat
majmuk adalah sebagai memenuhi aspirasi dasar kolonialisme. British
telah mewujudkan satu masyarakat baru di Tanah Melayu. Tanah Melayu yang
asalnya di diami masyarakat Melayu sahaja kemudiannya telah dipaksa menerima
kedatangan imigran asing bagi memenuhi hasrat British untuk mengaut
sebanyak-banyak keuntungan di Tanah Melayu. Imigran dari China dan India ini
didatangkan khusus bagi memenuhi keperluan buruh untuk ditempatkan di
lombong-lombong bijih timah dan di ladang-ladang getah.
Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat
majmuk telah lama wujud sewaktu kewujudan Empayar Melayu Melaka yang menjadi
pusat perdagangan terkenal pada sekitar kurun 13 - 15 Masihi. Namun begitu,
pentafsiran masyarakat majmuk di zaman Empayar Melayu Melaka adalah jelas
berbeza dengan masyarakat majmuk yang diwujudkan selepas kedatangan penjajah barat.
Ini kerana masyarakat majmuk yang wujud di waktu kerajaan Melayu Melaka adalah
jelas bersifat sementara kerana kebanyakan mereka adalah pedagang-pedagang
asing yang datang untuk memperniagakan hasil mereka sahaja. Biarpun wujud
sebilangan daripada mereka yang kekal tinggal dan bermastautin atas sebab
perkahwinan atau sebagainya, jumlah mereka adalah kecil dan tidak mengubah
suasana asal masyarakat terutamanya disegi perubahan strukur politik, ekonomi,
dan sosial. Ini terutamanya disebabkan kesediaan mereka pada kebiasaannya untuk
mengasimilasikan diri mereka ke dalam kebudayaan dan adat resam masyarakat
Melayu.
Masyarakat majmuk di Tanah Melayu selepas
kedatangan kuasa barat dan imigran asing pula telah mengubah hampir keseluruhan
sistem masyarakat di Tanah Melayu. Di samping itu kedatangan masyarakat imigran
juga telah mengubah komposisi kaum yang selama ini dikuasai sepenuhnya oleh
orang Melayu. Jumlah kedatangan imigran yang tiada had telah hampir-hampir
mengakibatkan jumlah orang Melayu di atasi oleh imigran-imgran asing. Suasana
ini jelas amat merbahaya kepada kedudukan orang-orang Melayu sebagai penduduk
asal Tanah Melayu.27
Dari segi pendidikan pula sistem vernakular
yang dilaksanakan oleh British telah mengakibatkan perpecahan ketara di antara
penduduk berbilang kaum. Anda sendiri boleh fahami apabila melihat bagaimana
sukatan pelajaran dan bahasa yang digunakan di sekolah-sekolah vernakular yang
tidak sedikit pun melambangkan suasana negara ini. Ini kerana dasar British
tidak merangsang berlakunya perpaduan di antara kaum.
Selain itu, sistem pendidikan yang wujud
jelas telah mengenepikan orang-orang Melayu daripada mencapai kemajuan.
Pendidik bertaraf rendah dan sikap British yang tidak berhasrat membantu
kemajuan orang Melayu dalam pendidikan mengakibatkan orang-orang Melayu menjadi
kaum yang paling ketinggalan pada masa tersebut. Ini harus difahami kerana
hasrat British sendiri yang tidak mahu keupayaan orang-orang Melayu dalam
pendidikan menjadi masalah kepada mereka apabila kesedaran telah diterima.
2. Ekonomi
Umumnya, dasar penjajahan British
terhadap Tanah Melayu telah mengubah sistem ekonomi tradisi yang sedia wujud di
Tanah Melayu. Masihkah anda semua ingat lagi, apakah sistem ekonomi tradisi?
Sistem ekonomi tradisi, ialah sistem yang berasaskan ekonomi sara diri dan
bertumpu kepada penanaman padi, penangkapan ikan, dan penternakan ladang.
Sistem ini telah berubah apabila British menjalankan dasar ekonomi
kolonialismenya dengan menjadikan sistem ekonomi yang wujud bermatlamatkan keuntungan.
Dalam perlaksanaan dasar ekonomi,
British secara langsung dan tidak langsung telah mengasingkan kaum-kaum utama
di Tanah Melayu iaitu orang-orang Cina, India dan Melayu mengikut kegiatan
ekonomi masing-masing. Kegiatan ekonomi telah memisahkan setiap kaum mengikut
kegiatan ekonomi dan sekaligus setiap kaum dikenali melalui kegiatan ekonomi
mereka, sebagai contoh orang India dikenali sebagai penoreh getah, orang Melayu
sebagai nelayan atau penanam padi, manakala orang-orang Cina sebagai pelombong.
Hasil daripada pembahagian kaum mengikut kegiatan ekonomi, masyarakat yang
wujud di Tanah Melayu turut terasing mengikut lokaliti atau kawasan kegiatan
ekonomi masing-masing. Keadaan ini telah mengurangkan interaksi kaum dan
akhirnya telah mewujudkan masalah perpaduan dikalangan kaum-kaum di negara ini.
3. Politik
Dari segi politik, sistem masyarakat yang
pada asalnya taat dan hidup di bawah pemerintahan raja dan sultan telah berubah
sama sekali. Kekuasaan raja dan sultan Melayu telah dikurangkan ke peringkat
hanya menjadi lambang kepada negeri atau negara. Sistem pemerintahan yang
dianjurkan oleh penjajah terutama oleh British jelas condong dan mirip kepada
corak pemerintahan di negara mereka. Bermula dengan pengenalan sistem residen
di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan kemudiannya diikuti pula dengan sistem
penasihat British di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu.
Pengenalan kepada kedua-dua sistem ini telah
mula mengurangkan kuasa pemerintahan raja-raja Melayu dan juga pembesarnya, dan
menyebabkan satu perubahan besar kepada corak pentadbiran Melayu Tradisi.
Fungsi residen dan penasihat British ini telah mengambil alih peranan yang
dahulunya dimainkan oleh pembesar-pembesar Melayu terutamanya dalam soal
menasihati Sultan dan mendapatkan hasil untuk negeri melalui cukai.
Selain itu, pada masa pemerintahan Melayu
Tradisi segala kerja pentadbiran dijalankan oleh masyarakat Melayu, tetapi
setelah kedatangan kaum imigran asing proses pentadbiran telah turut melibatkan
mereka. Biarpun jumlah orang Melayu lebih ramai yang terlibat dalam proses
pentadbiran, tetapi penglibatan imigran asing dalam proses pentadbiran adalah
satu dimensi baru dalam kehidupan masyarakat di Tanah Melayu. Apa yang jelas,
sedikit demi sedikit proses penjajahan telah mengubah wajah asal sistem
pentadbiran di Tanah Melayu, lebih-lebih lagi apabila sistem pilihanraya
diperkenalkan dan kuasa perdana menteri dan kabinet juga pegawai daerah mula
mengambil alih segala tugasan pentadbir Melayu Tradisi, iaitu sultan dan
pembesar.
3.5 KESIMPULAN
Berdasarkan perbincangan bab ini, bolehlah
kita membuat beberapa rumusan berkenaan apa yang kita kenali sebagai
penjajahan. Di segi istilahnya secara umum dapatlah kita rumuskan bahawa
gerakan penjajahan itu sebagai kolonialisme atau imperialisme. Biarpun begitu,
apabila dibincangkan secara khusus kedua-dua istilah kolonialisme dan
imperialisme pada hakikatnya adalah berlainan dari sudut dasar, perlakuan atau
aktiviti penjajahan.
Di sudut kolonialisme ianya jelas dipengaruhi
faktor-faktor agama (god), kemegahan
(glory), dan keuntungan atau kekayaan
(gold). Imperialisme pula jelas
memperlihatkan aktiviti-aktiviti yang menggambarkan kesinambungan sifat-sifat
kolonialisme seperti kemegahan, kemudiannya dilanjutkan oleh faham nasionalisme
yang membawa aktiviti etnosentrisme yang memuliakan kaum sendiri. Dapatlah kita
membuat kesimpulan bahawa gerakan penjajahan terutamanya dari barat yang
dilaksanakan British di negara ini adalah merupakan gabungan kedua-kedua dasar
yang kita bincangkan itu. Apa yang jelas ditonjolkan oleh kedua-dua dasar
tersebut ke atas negara ini ialah bagaimana ianya telah mengubah wajah kehidupan
asal yang ada di negara ini meliputi aspek sosial, ekonomi, atau politik.
Dasar-dasar kemasukan imigran, pendidikan vernakular, pemecahan ekonomi
mengikut kaum, sistem residen dan dasar pemerintahan berpusat telah
mengakibatkan cara hidup tradisi yang telah dibincang dalam bab sebelum ini
terhimpit dan tidak dihiraukan oleh penjajah British.
Sebuah masyarakat yang tunggal iaitu
masyarakat Melayu tradisi yang mengamalkan ekonomi tradisi, sara diri juga
sistem pemerintahan bertunjangkan sistem beraja dan pembesar dan telah berjaya
mengharungi kehidupan ratusan tahun akhirnya hilang sedikit demi sedikit.
Akhirnya satu masyarakat baru muncul iaitu masyarakat majmuk yang terdiri
daripada berbilang kaum dan bangsa, satu sistem ekonomi moden yang mementingkan
keuntungan dan mengamalkan sistem pentadbiran berpusat yang menggantikan kuasa
raja dan pembesar-pembesar. Berdasarkan semua fakta-fakta tersebut, jelas
gabungan dasar-dasar kolonialisme dan imperialisme yang diamalkan British dalam
gerakan penjajahannya di negara ini akhirnya telah mewujudkan Tanah Melayu
sebagai negara baru dengan rakyat dan sistem kehidupan yang baru.
ada nota kaki tapi bukunye mane?
ReplyDeleteAsa syarikat pinjaman pinjaman bersedia untuk meminjamkan mana-mana jumlah yang anda perlukan untuk memulakan perniagaan peribadi anda. kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%, juga jika anda ingin membeli rumah di atas ansuran bulanan kita juga boleh menjual rumah untuk anda. supaya Sila memohon pinjaman pertanian pertanian. jika anda memerlukan hubungan pinjaman e-mel kami: asaloantransfer@gmail.com, anda juga boleh menghubungi e-mel ini: finance_institute2015@outlook.com, Mungkin ada banyak sebab mengapa anda perlu akses kepada beberapa wang tunai tambahan - daripada yang tidak dijangka pembaikan kereta atau rumah untuk membayar perkahwinan anda atau cuti khas. Tetapi apa sahaja yang anda memerlukannya, apabila anda meminjam antara $ 5,000 USD untuk 100,000 USD di atas.
ReplyDeletepengkhususan Syarikat.
1) Kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%.
2) Kami juga boleh membeli sebuah rumah pilihan anda dalam mana-mana lokasi pilihan anda.
boleh tak nota kaki tu disertakan sekali dengan buku ? terima kasih.
ReplyDeleteapakah langkah kerajaan malaysia untuk menangani masalah yang ditinggalkan oleh penjajah dalam mengaut keuntungan hasil negara ???
ReplyDeletesolat subuh guys!!!!!
ReplyDelete