Thursday

NOTA SISTEM MASYARAKAT MELAYU TRADISIONAL SEBAGAI ASAS PEMBINAAN NEGARA

BAB 2


2.1   PENGENALAN

Apabila membicara atau menggambarkan perihal sistem masyarakat Melayu tradisional (selepas ini ditulis masyarakat Melayu tradisi atau MMT sahaja), ia merupakan satu perbincangan pensejarahan atau kehidupan kemasyarakatan yang tidak boleh dipisahkan dari merujuk kepada zaman Kesultanan Melayu Melaka (KMM). Titik tolak permulaan pada zaman ini kerana telah wujudnya sebuah kerajaan yang dapat membentuk sebuah masyarakat Melayu yang mempunyai sistem dan strukturnya tersendiri. Apa yang lebih dipentingkan lagi ialah keupayaan sesetengah dari sistem dan struktur tersebut telah dapat dikekalkan dan diterima pakai sehingga ke hari ini. Sama ada MMT sebelum dari zaman KMM sudahpun mempunyai tradisi-tradisinya, perbincangan ini tidaklah memberikan tumpuan kepada persoalan itu kerana telah banyak diperbincangkan1 oleh sarjana dan di luar skop penulisan modul ini.

MMT merupakan satu istilah. Pendefinisiannya haruslah merujuk kepada definisi siapa itu orang Melayu dan zaman tradisi yang diwakilinya.2 Secara umumnya, MMT boleh ditakrifkan sebagai satu gambaran orang Melayu yang mengamalkan sesuatu adat-istiadat (kebiasaan) yang telah sebati dan kekal secara turun temurun dalam kehidupan mereka. Ini memberi erti bahawa mereka tidak begitu terpengaruh dengan perubahan dan suasana sekeliling. Dalam erti kata lain, perubahan diterima dengan penyesuaian keadaan setempat. Dengan ini unsur-unsur tradisi dari segi politik, ekonomi dan sosial yang ada pada masyarakat Melayu dapat dikekalkan sepanjang zaman.

 

2.2       KONSEP-KONSEP PENTING

 

1.                   Sistem


Kamus Dewan mendefinisikan ‘sistem’ sebagai “cara atau kaedah yang teratur dan tersusun baik-baik (yang biasanya dijadikan pegangan) untuk melakukan sesuatu”.3

 

2.         Struktur  


Struktur merupakan pola-pola atau corak (patern) yang wujud secara relatif di antara elemen-elemen yang terdapat dalam struktur itu. Elemen-elemen tersebut ialah kelompok, institusi, hierarki, dan norma-normanya. 

3.         Ke -RAJA -an 


Dalam MMT, Ke-Raja-an menggambarkan sebuah pemerintahan atau sebuah kerajaan yang memerintah, bukannya konsep negeri atau negara sebagaimana pengertian hari ini. Ia juga sering dipanggil Ke-Sultan-an. Ke-RAJA-an juga membawa maksud kekuasaan Raja ke atas pemerintahannya yang berpusat. Raja itu Kuasa atau kata-kata Raja itu ialah undang-undang. Dengan kata lain, Raja berkuasa mutlak. Maka pada masa itu sesebuah kerajaan akan dikenali seperti Kerajaan Melayu Melaka atau Kesultanan Melayu Melaka4, Aceh, Kedah, Patani, Perak, Pahang, Brunei dan lain-lainnya.

1.             Melayu

Gambaran tentang siapakah orang Melayu, ciri-ciri dan sifat-sifatnya pada masa itu telahpun ditulis dengan panjang lebar oleh pengarang seperti Sir Frank Swettenham, Sir Hugh Clifford, Richard Winstedt dan lain-lainnya (Lihat huraian mereka seperti dalam senarai bacaan). Apa yang diistilahkan sebagai Melayu dalam perbincangan ini ialah dari segi lokasinya iaitu orang Melayu di Semenanjung Malaysia sebagai mewakili sebahagian besar Melayu di Alam Melayu.

 

2.3       PENEMPATAN


1.                   Lokasi

Sesebuah Kerajaan Melayu digambarkan bermula dengan sebuah penempatan di kuala atau di tepi sungai yang mempunyai ciri-ciri asas seperti ada nilai strategik (pertahanan), berpotensi berkembang (politik dan wilayah) dan mempunyai kemudahan jalan laluan (ekonomi dan perdagangan). Sebagai contoh, Kerajaan Melayu Melaka dibuka di Kuala Sungai Melaka yang mempunyai sebuah bukit di sebelah kanan mudik (Bukit China dan bukit Kota A Famosa) yang amat sesuai untuk dijadikan Pos Pemerhati. Di sepanjang sungainya wujud satu lembahan yang sesuai dijadikan kawasan penempatan penduduk dan juga untuk aktiviti pertanian. Manakala di kuala sungainya yang dalam dan dilindungi oleh pulau-pulau kecil, menjadikan ia terhalang dari tiupan angin kencang. Ini membolehkan Kuala Sungai Melaka amat sesuai untuk dijadikan sebuah pelabuhan yang boleh menguasai laluan di Selat Melaka dan juga laluan darat di kawasan pedalamannya. Faktor-faktor ini kemudiannya telah menjadikan nama Kerajaan Melayu Melaka terkenal ke seluruh dunia.

Melalui rangkaian penempatan di tepi sungai mahupun di tepi pantai yang kemudiannya berkembang ke pedalaman telah dapat membentuk kelompok penempatan yang lebih meluas atau penempatan baru. Penempatan-penempatan ini akhirnya membentuk satu kelompok pemerintahan. Biasanya kelompok pemerintahan ini tidak akan berkembang maju sehinggalah ia didatangi oleh seorang Raja atau Sultan yang akan memberikan pemerintahannya. Inilah yang telah dibuktikan oleh sejarah mengenai kewujudan sistem pemerintahan di Melaka, Kedah atau Perak misalnya. Di Kuala Sungai Melaka digambarkan telah mempunyai perkampungan nelayan sebelum Parameswara berhasrat membuka sebuah kerajaan di situ. Begitu juga dengan Perak yang telah mempunyai pemerintah atau ketua-ketua tempatan di hulu, hilir, darat dan baruhnya sebelum ketibaan Sultan pertama yang menubuhkan Kerajaan Melayu Perak.5
Sebuah penempatan yang paling asas, dikenali sebagai kampung atau nama tradisinya dusun.  Ia diketuai oleh seorang ketua yang dipanggil ketua kampung atau tok empat atau penghulu. Biasanya sebuah kampung didiami oleh sebuah keluarga besar ataupun oleh beberapa buah keluarga yang menjadi peneroka awal. Biasanya kampung dibuka (diterokai) kerana mempunyai potensi menjadi sebuah kawasan sawah padi (bendang) dan dusun buah-buahan (pertanian), di samping menjadi tempat perlindungan daripada bencana peperangan, melarikan diri daripada penindasan atau serangan wabak penyakit berjangkit. Ada juga kadangkala sesuatu tempat yang telah dijadikan tempat persinggahan bermalam (sementara) bagi laluan darat kemudiannya diterokai menjadi sebuah perkampungan yang baru. Biasanya ia mempunyai kriteria di atas, iaitu mudah sumber air untuk tujuan pertanian.

Bagi sebuah penempatan MMT yang telah berkembang, ia mempunyai kawasan tempat tinggal (rumah-rumah) di tepi sungai. Rumah-rumah ini biasanya memanjang mengikut arah hulu sungai dan di sekelilingnya di tanam dengan pokok kelapa dan pokok buah-buahan kekal (dusun) seperti durian, langsat, cempedak, petai, nangka, manggis, rambai dan sebagainya yang mengikut keutamaan dan kesesuaian setempat. Di atas atau pedalaman dari kawasan ini dijadikan kawasan tanaman kontan dari jenis sayur-sayuran seperti ubi dan labu, jagung, tebu, dan pisang. Pada masa awal penerokaan, ditanam padi huma atau padi bukit yang dibuat serentak dengan tanaman kontan. Kawasan inilah juga kemudiannya menjadi tempat awal penanaman getah setelah kedatangan penjajah. Kawasan tanaman padi (sawah atau bendang) pula tidak jauh dari sini, di kawasan yang biasanya ada anak bukit dan anak sungai kecil yang membentuk kawasan paya yang luas dan mempunyai tahap kesuburan yang tinggi. Inilah kawasan yang dijadikan sawah semasa musim hujan dan dijadikan tempat makan binatang ternakan seperti kambing, lembu atau kerbau pada musim panas.6

2.      Kegiatan Kemasyarakatan

Bagi kegiatan bermasyarakat seharian, masjid atau surau dan pasar-pasar sehari (atau dalam istilah masyarakat di Sabah dipanggil Tamu dan bagi masyarakat di utara Kedah dan Perlis dikenali dengan Nat) menjadi tempat berkumpul masyarakat. Masjid atau surau menjadi tempat mengerjakan ibadah khusus (kegiatan keagamaan) dan pendidikan, serta dijadikan tempat berkumpul bagi membincangkan hal-hal kemasyarakatan. Sebab itulah kita dapat melihat sehingga ke hari ini, ruang-ruang yang terdapat di sesebuah masjid itu mestilah mengandungi ruang sembahyang, bahagian anjung untuk tempat berbicara (tempat bersembang atau berlabun) yang terpisah dari ruang sembahyang dan tempat mengambil air sembahyang (kolah dan telaga jika tempatnya jauh dari sungai). Ketiga-tiga ruang ini biasanya berada dalam satu bangunan utama masjid atau surau bagi memudahkan pergerakan.

Kegiatan di masjid bermula dengan mengambil air sembahyang, berhenti di ruang berbicara dan masuk ke dalam bagi menunaikan sembahyang (solat). Ataupun masuk ke ruang berbicara kemudiannya baru mengambil air sembahyang di ruang yang hanya bersebelahan sahaja, lepas itu barulah bersembahyang. Manakala di luar bangunan utama ini akan didirikan tempat memasak dan tempat bermayang bagi menjalankan kerja-kerja masakan terutamanya untuk kegiatan bulan puasa dan hari-hari perayaan kebesaran agama. Sayugia diingatkan bahawa susunan ruang bangunan sebegini bagi menyesuaikan dengan keadaan setempat dan semasa. Syarat bagi mendirikan masjid bagi sesebuah kariah mestilah pemastautin lelaki balighnya melebihi 40 orang. Dengan itu tidak semua kampung mempunyai masjid. Beberapa buah kampung yang dikumpulkan menjadi mukim, disitulah yang akan didirikan masjid—biasanya di kampung yang ketuanya berjawatan lebih kanan dan kampung itu merupakan kampung asal lagi utama. Oleh yang demikian, tempat-tempat atau ruang yang dinyatakan di atas amatlah diperlukan oleh para jemaah yang datang dari kampung sekitar dengan cara berjalan kaki ataupun berperahu menggunakannya sebelum menunaikan sembahyang. Lebih-lebih lagi bagi menunaikan sembahyang Jumaat. Kegiatan pendidikan dibuat pada pagi Jumaat sehinggalah sampai waktu sembahyang yang dijalankan oleh guru-guru agama dari mukim lain ataupun imam-imam tempatan.

Bagi kampung-kampung yang tidak mempunyai masjid, surau akan memainkan peranan. Susunan ruangnya adalah lebih mudah dengan hanya ada ruang sembahyang dan tempat membasuh kaki di tepi tangga untuk naik ke surau. Biasanya surau ini terletak di tepi sungai dan berhampiran dengan rumah ketua kampung. Selain dari belajar sesama sendiri dengan imam di kampung, imam dari masjid atau guru agama tempatan juga akan datang mengajar pada malam-malam tertentu dalam setiap bulan. Biasanya imam ini akan bermalam di kampung tersebut bagi membolehkannya mengajar kaum wanita (ibu) pada sebelah petang dan mengajar kaum bapa pula pada waktu antara Maghrib dengan Isya’. Bagi kanak-kanak dan orang dewasa, mereka hanya belajar (istilah masa itu mengaji) al-Quran dan fardu ain  di rumah imam atau orang kampung yang berkebolehan seperti bilal, (biasanya dipanggil pak lebai) siak, atau di rumah keluarga induk yang berilmu dan berkebolehan mengajar al-Quran.7

Manakala pasar pula menjadi tempat berjual beli (perniagaan) dan bertukar-tukar barangan. Dalam keadaan masyarakat yang mengamalkan kehidupan yang mudah atau secukup hidup, proses berjual beli tetap juga berlaku. Ini kerana tidak semua masyarakat dapat menyediakan keperluannya sendiri. Ada yang perlu didapati dari orang lain atau daripada tempat lain. Maka akan berlakulah pertukaran barang atau proses jual-beli. Proses ini tidaklah berlaku setiap hari kerana faktor jalan laluan, pengangkutan dan masa bagi mengumpulkan barang-barang tersebut. Tempat bagi bertukar barangan dan jual-beli ini ialah pasar sehari di tempat-tempat tertentu yang biasanya di kuala sungai atau anak sungai yang mudah mempertemukan orang ramai. Penduduk setempat membawa hasil pertanian dan ternakan yang boleh ditukar atau dijual, manakala pedagang dari luar (dalam konteks ini masih orang Melayu tetapi datang dari luar kawasan-mukim atau daerah) membawa barang dagangan mereka. Setelah berlaku pertukaran barang atau berjual beli, mereka balik semula ke destinasi masing-masing. Bagi penduduk setempat masa pergi dan balik selalu dilakukan beramai-ramai dengan perahu, rakit ataupun berjalan kaki. Di sini juga berlakunya proses asimilasi dan permuafakatan setempat.

Pergerakan terpaksa dilakukan secara beramai-ramai atau berkumpulan kerana faktor pengangkutan dan juga kerana masalah keselamatan. Walaupun pada umumnya hampir setiap keluarga mempunyai perahu sebagai alat pengangkutan, tetapi dengan cara bergerak beramai-ramai akan lebih menjaminkan keselamatan dari ancaman binatang buas, karam dalam sungai ataupun dirompak di tengah perjalanan. Pergerakan sebegini juga akan lebih mempereratkan lagi silaturrahim sesama mereka dengan adanya semangat tolong menolong dan saling membantu. Maka kelihatanlah masyarakat berada dalam suasana bermuafakat kerana amat berpegang kepada adat dan agama sebagaimana digambarkan oleh ungkapan “hukum bersendikan adat, adat bertiangkan agama”. Dalam erti kata lain, adat dan agama telah dapat menyatu dan memperatkan perhubungan dan pergaulan dalam MMT.

3.      Faktor Penyatuan

Dalam konteks bernegara seperti hari ini, MMT tidak dapat memperlihatkan gambaran suasana sedemikian. Ini kerana konsep negara dan bangsa dalam sebuah kerajaan Melayu tidak begitu jelas. Rakyat sering mengaku menjadi “rakyat jelata” atau “orang”, seperti rakyat Sultan Kedah atau orang Perak (oghang Peghak). Walaupun begitu, penyatuan yang boleh memberikan persamaan kepada semua MMT di seluruh pelusuk Alam Melayu ialah penggunaan bahasa Melayu dan perkembangan sasteranya yang sama, corak kehidupan sederhana yang penuh dengan budi bahasa dan susur budayanya, agama Islam yang menjadi anutan dan pegangan serta pemilikan ke atas tanah adalah hak-milik Raja (tidak ada pemilikan kekal kecuali atas anugerah). Oleh yang demikian, dalam MMT tidak ada batas sempadan kekal (tetap) yang bertanda, yang akan memisahkan antara sesama penduduk tetapi hanya ada perakuan kawasan dan tanda kesetiaan. Kekuatan sesebuah kerajaan diukur pada bilangan (ramai) penduduk yang memperakui kekuasaan pemerintahan dengan memberi kesetiaan, bukannya kepada keluasan kawasan secara mutlak.     

      

2.4       PENDUDUK


MMT boleh diklasifikasikan kepada dua kelas,iaitu pemerintah dan rakyat. Golongan pemerintah terdiri daripada Raja/Sultan, kerabat terdekat, pembesar istana dan pembesar tempatan. Golongan rakyat pula terdiri daripada rakyat bebas dan golongan hamba. Mereka ini tinggal di sepanjang tepi sungai yang sesuai dan di tepi laut dengan membentuk sebuah penempatan yang berkembang menjadi mukim, daerah/jajahan dan negeri (dalam istilah hari ini). Penempatan juga berkembang ke pedalaman (darat), iaitu ke hulu lembahan sungai yang berakhir ke kaki bukit.

Kedudukan atau lokasi sesuatu penempatan akan mencorak bentuk jenis pekerjaan penduduknya. Pada asalnya merupakan satu bentuk pekerjaan untuk keperluan asas seharian sahaja. Akhirnya pekerjaan asas ini menjadi pekerjaan utama yang berupaya mengeluarkan hasil keluaran tempatan. Pada umumnya penduduk mengusahakan kawasan pertanian bagi menghasilkan keperluan makanan sendiri. Jika ada lebihan akan digunakan sebagai keperluan pertukaran ataupun simpanan semasa kecemasan. Di samping itu dilakukan juga usaha-usaha mencari hasil bumi dan galian, hasil hutan atau hasil laut secara sambilan berselang seli dengan kerja utama pertanian. Bagi yang kerja utamanya ke laut, mereka akan beralih ke kerja galian dan hutan semasa musim tengkujuh. Ataupun mereka akan pergi ke pulau-pulau yang mempunyai gua untuk mengeluarkan hasil sarang burung atau hasil lainnya seperti baja.
Secara keseluruhannya, penduduk mempunyai satu sistem kehidupan yang sederhana dengan ekonomi sara diri dan bertukar barangan perniagaan yang dijalankan sesama sendiri antara penduduk di tepi pantai dengan di tepi sungai dan lembahannya. Orang tengah (pengantara) dalam perniagaan ialah pemerintah dan pemimpin tempatan. Perniagaan diperluaskan dengan kawasan jiran tetangga melalui jalan darat atau laut. Perkembangan dalam kehidupan juga kemudiannya menjadikan sebahagian kecil penduduk menjadi pedagang-pedagang sehingga ke peringkat antarabangsa (dunia luar).8

 

2.4.1     Pemerintah


Secara umum, susun-lapis golongan pemerintah dari kedudukan tertingginya ialah Raja atau Sultan. Diikuti oleh kerabat terdekat yang terdiri dari kalangan isteri-isteri, ibu-ibu, anak-anak, adik beradik dan bapa serta emak saudara bersama anak-anak mereka. Kelompok ini dibantu oleh pembesar istana yang diketuai oleh Bendahara, diikuti oleh Temenggung, Laksamana, Penghulu Bendahari, Ketua Hulubalang (Hulubalang Besar) dan lain-lain Orang Besar Istana. Satu lagi kelompok pemerintah yang penting ialah Pembesar Tempatan yang diistilahkan sebagai Orang Besar Empat Lipatan dengan gelarannya Orang Besar Empat, Orang Besar Lapan, Orang Besar Enam Belas dan Orang Besar Tiga Puluh Dua, Dato’ Penghulu dan Ketua Kampong. Mereka menjalankan tugas di mana penempatan mereka didirikan berasaskan kedudukan dan statusnya dalam hierarki pemerintahan.

 

2.4.2    Rakyat


Kalangan rakyat terbahagi kepada rakyat bebas dan golongan hamba. Rakyat bebas terdiri daripada kalangan orang kaya (berharta), ahli agama, orang yang ada kepandaian yang dikenali sebagai utas, tukang atau pandai dalam bidang membuat senjata, emas, perahu, rumah, pemuzik atau ahli Nobat dan kerja perbomohan serta mengurut. Rakyat jelata juga terdiri daripada kalangan peniaga dan pedagang, dan orang biasa yang menjadi petani, penternak atau nelayan. Kelompok rakyat jelata ini boleh menaikkan taraf mereka dengan kehendak pemerintah kerana telah membuat jasa dan bakti atau melalui perkahwinan. Maka wujudlah di kalangan mereka ini Orang Bernama, Berjasa atau Bergelar.

Bagi kalangan hamba pula, mereka menjadi sedemikian kerana warisan dari keturunan, berhutang, hukuman, tawanan atau kerana kemahuan sendiri untuk menghambakan diri atas sebab dan alasan tertentu.9

 

2.5       MASYARAKAT SETEMPAT


Masyarakat Melayu meliputi satu rumpun suku-kaum yang besar. Jika di lihat dari segi kawasan penempatannya, ia meliputi dari kawasan Champa di Indo-China sampai ke kepulauan Madagaskar di Afrika. Namun apa yang diperbincangkan di sini hanyalah kepada suku-kaum yang ada di Semenanjung Malaysia sahaja. Mereka itu boleh dibahagikan kepada tiga kelompok utama. Pertama ialah orang Melayu yang berasal di sini (tanpa mengambil kira lagi pandangan yang mengatakan mereka ini juga asalnya datang dari sebelah utara). Kedua ialah orang Melayu mendatang dari Sumatera terdiri daripada orang Aceh, Pasai, Minangkabau, Riau, Mendeleng dan Rawa; dari Kalimantan, terdiri daripada orang Banjar; dari Jawa terdiri daripada orang Jawa dan Sunda; dan orang Bugis pula dari Sulawesi. Dari sebelah utara pula ialah kalangan masyarakat Patani dan Siam yang membentuk masyarakat Sam-Sam, iaitu satu kelompok masyarakat yang mengakui sebagai orang Siam tetapi mengamalkan adat istiadat, cara kehidupan dan agama orang Melayu, kecuali masih berbahasa Siam lama (Selatan). Manakala kelompok ketiga ialah orang luar yang telah membentuk satu lagi kelompok baru masyarakat Melayu. Mereka ialah daripada kalangan orang Arab dan India Muslim yang telah mengasimilasikan kehidupan dengan orang Melayu. Proses ini adalah melalui perkahwinan antara mereka yang kebanyakannya pendakwah Islam dan juga pedagang-pedagang dengan anak perempuan golongan pemerintah dan orang besar. Perkembangan ini telah membentuk satu lagi kelompok Melayu yang dikenali sebagai Melayu keturunan Arab dan juga Jawi Pekan atau Orang Peranakan (Anak Mami). Sebahagian mereka tinggal dalam kelompok sendiri dan ramai yang tinggal bersama kelompok besar Melayu.10


2.6       BIDANG PEKERJAAN DAN HASIL KELUARAN

Pekerjaan utama MMT banyak dipengaruhi oleh tempat tinggal mereka. Bagi yang tinggal di tepi laut, mereka menjadi nelayan dan juga pedagang. Manakala di tepi sungai dan pedalaman, menjadi petani atau istilah pada masa itu ialah  “buat bendang”. Namun begitu, oleh kerana kerja nelayan dan buat bendang mengikut musim, maka mereka juga melakukan kerja sampingan sementara menunggu tiba kembali musim kerja utama. Antara kerja-kerja yang dilakukan dalam bidang pertanian ialah menanam padi. Dalam masa yang sama atau secara bermusim mereka menanam lada, buah pinang, sagu, cengkih, gambir, tebu, jagung, cutch dan sebagainya mengikut tempat dan kesesuaian tanah. Mereka juga menjalankan kerja penternakan seperti memelihara lembu, kerbau dan kambing, ayam itik dan memproses kulit binatang ternakan. Pada masa sampingan, para petani atau nelayan melakukan kerja-kerja mencari bahan galian seperti bijih timah, habuk emas dan bijih besi. Manakala kerja di hutan juga dilaksanakan seperti mencari kayu-kayan, rotan dan pewarna (dye), madu lebah, lilin (wax), damar, kayu gaharu, cendana dan kasturi, memburu gajah bagi kegunaan pengangkutan serta dijual gading dan giginya, memburu harimau untuk kegunaan tulang dan kulitnya, memburu badak bagi keperluan kepada sumbu atau gadingnya dan memburu rusa untuk daging dan tanduknya. Bagi nelayan, mereka mempunyai satu lagi pekerjaan tetap atau sampingan dengan mencari sarang burung di gua-gua yang terdapat di kawasan pulau atau gua-gua di tepi pantai, membuat jeruk telur ikan (fish maws), memproses sirip jerung, mencari dan memproses tripang (gamat) atau dikenali sebagai sea slugs atau beach de mer, menyelam tiram, membuat garam dan ikan masin.

 

2.7       NILAI-NILAI MURNI MMT: SATU PENGAMATAN KEMBALI


Keadaan penempatan, corak pekerjaan dan suasana pemerintahan MMT telah membentuk satu corak masyarakat yang tersendiri. Mereka telah menghasilkan satu nilai kehidupan yang tidak sama dengan masyarakat lain. Perkara ini boleh di lihat melalui contoh-contoh di bawah.

2.7.1     Sistem Politik

Asas hubungan politik Melayu berteraskan kepada perjanjian dan perakuan antara Demang Lebar Daun (mewakili rakyat) dengan Sang Si Perba (mewakili Raja atau Pemerintah). Perjanjian dan perakuan ini berbunyi:



Demang Lebar Daun
“Adapun tuanku, segala anak cucu patek sedia akan menjadi hamba ke bawah duli yang dipertuan, hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli tuanku, dan jika ia berdosa, sebesar-sebesar dosanyapun, jangan difadilatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itu pun jika berlaku pada hukum syara.”

Sang Si Perba
“Hendaklah pada akhir zaman kelak, anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita. Jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun.”

Demang Lebar Daun
“Baiklah tuanku. Tetapi jikalau anak-buah tuanku dahulu mengubahkan ia, maka anak cucu patek pun mengubahkannya.”

Sang Si Perba
“Baiklah, kabullah hamba akan wa’adat itu.”11

Inilah perjanjian awal yang telah mengikat kesetiaan dan memberi perlindungan di antara pemerintah dan rakyat dalam MMT. Ekoran dari itu wujudlah beberapa konsep yang menjadi pengikat dan pengerat hubungan antara kedua pihak, iaitu

1.         Konsep Taat Setia dan Penaung


Konsep ini menerapkan nilai perhubungan antara pemerintah dengan rakyat. Rakyat memberikan taat setia kepada pemerintah. Pemerintah pula memberi perlindungan kepada rakyat melalui pemerintahan yang adil dan saksama. Dalam erti kata lain, rakyat memperakui ketuanan pemerintah dan pemerintah menjadi penaung dan pelindung kepada rakyat.

 

2.         Konsep Budi dan Anugerah


Rakyat memberi perkhidmatan kepada Raja (kerajaan), dan pemerintah memberi anugerah kepada rakyat dengan pangkat, gelaran mahupun tanah atau kawasan sebagai pegangan. Namun apa yang sering digambarkan kepada kita penduduk hari ini ialah tentang kezaliman dan penindasan serta pelbagai pekara buruk yang dilakukan oleh pemerintah dan sebagai tindak balas adanya penderhakaan atau rakyat melarikan diri dari pemerintahan yang zalim. Keadaan ini berpunca dari kedua-dua pihak atau salah satunya kerana tidak lagi berpegang pada janji dan perakuan yang dinyatakan di atas. Ia juga berpunca kerana tidak mengikut beberapa kriteria dan garis panduan yang perlu diikuti dalam membuat perlantikan raja atau pemerintah. Antara kriteria yang telah digariskan ialah

Anak lelaki sulung
Berakal
Berilmu
Seboleh-bolehnya anak gahara
Mendapat sokongan para pembesar dan ketua-ketua
Dilantik dengan penuh adat istiadat12

Jadi, apabila sesatu kriteria di atas tidak dipatuhi dalam membuat perlantikan seseorang Raja atau pemerintah, maka berlakulah kepincangan dalam sistem pemerintahan tersebut. Misalnya, jika tidak dipilih anak lelaki sulung untuk menjadi waris atau menaiki takhta, ia mengakibatkan berlakunya rasa tidak puas hati di kalangan pewaris, keluarga dan pengikutnya—boleh menimbulkan perasaan kecewa, marah dan dendam. Sering kali ia akan berakhir dengan pemberontakan yang mengakibatkan huru hara. Sayugia diingatkan perkara tidak puas hati ini mudah timbul kerana sifat pemerintah pada masa itu bukanlah mempunyai seorang isteri. Biasanya di kalangan isteri ini sering bersaing untuk memastikan anak mereka akan menjadi waris takhta. Keadaan menjadi bertambah sengit sekiranya isteri pertama hanya anak seorang pembesar, adik atau kakak pembesar yang berpengaruh dan isteri kedua pula berdarah raja. Banyak contoh dalam sejarah kerajaan Melayu yang menggambarkan perihal perkara ini.

Begitu juga dengan sokongan para pembesar. Pembesar adalah “kaki dan tangan” serta “mata dan telinga” Raja. Oleh itu kesetiaan dan sokongan padu dari mereka dapat membantu melicinkan pemerintahan sesebuah kerajaan. Dalam catatan “Sejarah Melayu” digambarkan Sultan Alauddin Syah terpaksa melakukan penyamaran dengan berkawal dan meronda bagi menangkap pencuri dan perompak kerana Datuk Temenggung tidak menjalankan tugas dengan sempurna. Begitu juga dengan nasib yang menimpa Raja Muhammad yang tidak dapat menjadi waris takhta KMM setelah Bendahara Paduka Raja Tun Perak menyatakan: “…tetapi janganlah kita bertuankan anak raja seorang ini.” Penolakan ini terpaksa diakuri oleh Sultan Mansor Syah dan menyerahkan Raja Muhammad kepada Seri Bija Diraja untuk disuruh rajakan di Pahang.13

 
2.7.2    Sistem Ekonomi

Pada asasnya MMT mengamalkan ekonomi sara diri. Namun kerana tidak semua tempat boleh mengeluarkan semua hasil, maka pertukaran barangan berlaku. Dalam MMT kurang mementingkan keuntungan yang berlebihan tetapi lebih kepada perkhidmatan sosial (kemasyarakatan). Dalam urusan jual belipun masih memperkirakan amalan sedekah jariah. Ini sejajar dengan ajaran Islam yang menetapkan keuntungan perniagaan sehingga tidak sampai ke peringkat menindas pengguna. Sering berlaku memberi lebihan dari yang sepatutnya berdasarkan tukaran atau nilai harga barang tersebut. Contoh yang dapat di lihat secara nyata sekarang ini ialah penjualan kuih-muih dari rumah ke rumah, yang sering diamalkan di kalangan masyarakat nelayan bukanlah semata-mata untuk keuntungan jualan sahaja. Malahan lebih kepada memberi perkhidmatan terhadap masyarakat setempat. Masyarakat pula sentiasa tertunggu-tunggu kehadiran si penjual untuk membeli kuih-muihnya di samping berkongsi pendapatan dengannya.

Apa yang lebih menarik lagi dalam MMT, semua bentuk perniagaan dan perdagangan dilakukan sendiri oleh orang Melayu (penduduk tempatan). Orang Melayu menjadi pembuat, penjual dan kemudian memperdagangkannya. untuk pasaran luar berdasarkan tahap dan bidang masing-masing. Misalnya, di sebuah penempatan, terdapat tukang besi yang membuat pelbagai jenis alatan (senjata) yang boleh di gunakan untuk keperluan pertanian ataupun untuk kegunaan persenjataan. Hasil tangan (barangan) ini akan dibeli oleh penduduk setempat secara terus. Bagi tujuan untuk dijual keluar, biasanya ada pihak lain (peraih atau orang tengah) yang akan membeli dan menjualkannya di luar.

Demikian juga dengan penjualan hasil pertanian—seseorang petani yang mempunyai lebihan padi atau beras akan menjualkannya kepada pembeli dari kalangan penduduk kampung atau yang datang dari luar. Lepas itu barulah beras ini diperdagangkan keluar seperti di kawasan pedalaman yang kurang hasil padi atau di kawasan nelayan yang tidak mengerjakan bendang. Ini adalah dalam konteks kawasan setempat dalam sebuah kerajaan. Terdapat juga perdagangan yang melibatkan antara kerajaan dengan kerajaan, misalnya Kerajaan Melayu Kedah terkenal dengan keluasan sawah padinya. Mereka akan memperdagangkan beras ke Kerajaan Melayu Perak di sebelah hulu atau di kawasan utaranya. Begitu juga dengan Kerajaan Melayu Patani yang mengeluarkan hasil garam dan ternakan lembu kerbau. Mereka juga akan memperdagangkan hasil tersebut ke Perak ataupun Kedah dan ke tempat lainnya.

Catatan dari penulis-penulis sebelum ini telah menyatakan bahawa orang Melayu juga merupakan pedagang dan pelaut terkenal. Mereka bukan sahaja menjadi pedagang tempatan, pesisir pantai malahan sampai ke peringkat antarabangsa. Meskipun pada zaman keagungan Melaka tidak begitu digambarkan pedagang Melayu keluar dari Melaka, namun hakikatnya, kenyataan telah membuktikan bahawa orang-orang Melayu dari sebelah utara di kawasan Segenting Kra, sebelah timur dari Kepulauan Filipina dan Kepulauan Sulu serta dari bahagian selatan dari Kepulauan Sulawesi telah pun berdagang dan menjual barangan mereka di Melaka.14

Kenyataan menjadi semakin jelas apabila kejatuhan Kerajaan Melayu Melaka telah membawa kepada perkembangan Kerajaan Aceh, Kedah, Johor-Riau, Patani dan Brunei serta Sulu. Mereka ini telah melakukan perdagangan keluar sampai ke India dan China. Selain dari bukti-bukti melalui penulisan ilmiah, cerita-cerita rakyat dan perumpamaan yang menjadi pegangan masyarakat Melayu mengenai perdagangan dan perniagaan juga dapat membuktikan kenyataan di atas seperti:

“Saudagar buluh kasap, hujung hilang, pangkal lesap’’
“Larangan menjual jarum (besi) dan garam pada waktu malam’’
“Cerita pengembaraan perniagaan seperti Awang Sulung Merah Muda dan Nakhoda Si Tanggang”
“Cerita angan-angan Mat Jenin berniaga”16

 
2.7.3    Sistem Sosial

Kehidupan penduduk sentiasa dalam suasana bermasyarakat. Ibarat satu tubuh badan, yang antara satu sama lain sentiasa saling membantu dan memerlukan. Asas pekerjaan ialah bergotong royong dan bekerjasama. Tidak banyak memperlihatkan sikap individualistik. Pemilihan jodoh dijadikan contoh perbincangan ini. Ia bermula dengan permuafakatan seluruh keluarga dengan dibantu oleh jiran tetangga yang sebahagian besarnya terdiri dari kalangan keluarga juga. Setelah mendapat kata sepakat, baru dibuat risikan untuk meminang yang berakhir dengan pertunangan. Setelah sampai tempoh atau cukup masa yang dijanjikan, majlis pernikahan dilangsungkan dengan mengadakan kenduri kendara secara yang termampu. Perbelanjaan perkahwinan biasanya ditanggung oleh keluarga dengan muafakat seluruh penduduk sama ada di pihak pengantin lelaki apatah lagi perempuan. Semua kerja dibuat secara bergotong royong tanpa mengharapkan sebarang upah atau ganjaran. Penduduk bersama keluarga meraikan majlis ini sampai ke akhir. Dalam istilah setempatnya dikatakan “sehingga selesai memulangkan pinggan mangkuk dan kawah belanga”. Ia disusuli kemudiannya dengan menziarahi keluarga dan orang kampung. Sekali lagi pengantin ini dirai dan diberi hadiah atau buah tangan sebagai tanda kenangan dari kaum keluarga mengikut kadar kemampuan masing-masing. Peristiwa ini berlaku dikedua-dua belah pihak lelaki dan perempuan. Ini memberikan satu gambaran tentang tanggungjawab bersama ahli keluarga dan juga masyarakat kepada pihak yang akan membentuk keluarga yang akhirnya menjadi ahli kepada masyarakat tersebut juga.

Bagi kerja-kerja pertanian, semua dibuat secara gotong royong. Ia bermula dari proses membuka hutan sehinggalah mendapatkan hasil. Teknologi direka cipta sendiri seperti membuat baji untuk menebang pokok serta membelah kayu. Memasang pelita dan unggun api digunakan untuk meluruskan taliair dan dan batas sawah atau bendang. Membuat lesung bagi mengisar padi dan sebagainya. Banyak lagi contoh-contoh teknologi MMT yang telah direka cipta dan digunakan seperti panduan arah angin, persenjataan dan alat pertukangan, alat memasak dan tenunan hatta kepada pembinaan kapal layar untuk perdagangan.

Konsep gotong royong ini amat penting kerana masyarakat tidak mampu melaksanakan sebarang kerja secara bersendirian. Mengambil contoh bagi membuka sebuah kawasan sawah padi misalnya pengusahaan sawah padi dikendalikan oleh seluruh penduduk kampung kerana melibatkan kerja menebas dan menebang pokok, membakar atau memerun, menggali parit dan taliair, membuat batas atau ban bagi takungan air mahupun untuk tujuan sempadan antara tuan punya, ataupun bagi membina pagar dari ancaman babi hutan atau menghalang ternakan memakan pokok padi. Melalui konsep kerjasama, bukan sahaja saling membantu, malahan dapat menyelaraskan kerja. Taliair dan parit tidak boleh dibuat bersendirian kerana melibatkan luas dan kedalaman yang berbeza dari sebelah hulu ke hilir. Begitu juga dengan batas atau ban yang hendak dibina harus mengambil kira kedudukannya agar tidak memasuki ke bahagian orang lain. Menuai padi juga mesti bersama-sama supaya dapat mengelakkan dari terkeluar dari musim panas. Ini kerana padi yang telah dituai harus dijemurkan pada panas matahari supaya mudah semasa memprosesnya menjadi beras. Jika musim hujan tiba, sedangkan kerja mengambil buah padi belum selesai, maka kerugian besarlah petani tersebut dari segi hasilnya. Oleh yang demikian, istilah “muafakat membawa berkat” telah jadi pengikat perhubungan dalam MMT.

Tanda-tanda muafakat seterusnya dapat di lihat dalam aktivti keagamaan. Jika pada peringkat permulaan ada digambarkan perihal keadaan masjid dan surau, perbincangan ini cuba memaparkan kerjasama masyarakat semasa mengerjakan ibadah puasa dan menyambut hari raya. Semua pihak, tua-muda, kecil-besar, lelaki-perempuan terlibat sama dalam ibadat puasa dan menyambut hari raya tersebut. Misalnya menghadapi waktu berbuka puasa, memadai dengan membuat sejenis kuih dan menghantar kepada keluarga sekeliling, tuan rumah tersebut akan mendapat balasan. Dengan ini akan dapatlah berbuka dengan beberapa jenis kuih meskipun hanya membuat sejenis sahaja. Demikian juga dengan lauk-pauknya.

Suasana diteruskan pada hari raya. Selain menziarahi kubur pada sebelah paginya beramai-ramai, kunjung mengunjung ke rumah saudara mara dilakukan dalam masa beberapa hari. Peraturan adatnya pihak yang muda akan mengunjung keluarga yang lebih tua dari segi usia atau kedudukannya dalam keluarga atas sifatnya sebagai bapa atau datuk saudara (pupu). Semua ini berlaku kerana kuatnya ikatan kekeluargaan dan juga berpegang pada adat serta mengikut ajaran keagamaan.

5 comments:

  1. salam dr. boleh saya tahu sumber buku rujukan dr

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Dr, mohon kebenaran untuk mengambil nota Sistem Masyarakat Melayu. Sekian, terima kasih.

    ReplyDelete
  3. Anonymous02:39

    Asa syarikat pinjaman pinjaman bersedia untuk meminjamkan mana-mana jumlah yang anda perlukan untuk memulakan perniagaan peribadi anda. kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%, juga jika anda ingin membeli rumah di atas ansuran bulanan kita juga boleh menjual rumah untuk anda. supaya Sila memohon pinjaman pertanian pertanian. jika anda memerlukan hubungan pinjaman e-mel kami: asaloantransfer@gmail.com, anda juga boleh menghubungi e-mel ini: finance_institute2015@outlook.com, Mungkin ada banyak sebab mengapa anda perlu akses kepada beberapa wang tunai tambahan - daripada yang tidak dijangka pembaikan kereta atau rumah untuk membayar perkahwinan anda atau cuti khas. Tetapi apa sahaja yang anda memerlukannya, apabila anda meminjam antara $ 5,000 USD untuk 100,000 USD di atas.

    pengkhususan Syarikat.
    1) Kami memberi pinjaman pada kadar faedah 3%.
    2) Kami juga boleh membeli sebuah rumah pilihan anda dalam mana-mana lokasi pilihan anda.

    ReplyDelete
  4. Anonymous09:09

    Salam Dr, boleh tahu reference/rujukan untuk nota ini? Terima kasih

    ReplyDelete